TUALA WANITA PERCUMA TANGANI KEMISKINAN HAID

IPOH: Kerajaan Perak hari ini memulakan program pemberian tuala wanita percuma melalui kit asas kebersihan wanita (PROKis) bagi mengatasi masalah kemiskinan haid di negeri itu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, usaha itu dibuat selepas mendapati ada pelajar daripada golongan B40 di kawasan luar bandar yang tidak hadir ke sekolah setiap kali mengalami haid.

“Kalau kita lihat ada sebahagian pelajar bila mengalami masalah ni dan datang haid, mereka memilih untuk tidak pergi ke sekolah, jadi ia akan menyebabkan isu lain pula dari segi keciciran pelajaran, pendidikan dan sebagainya.

“Mungkin ada yang bekerja juga tidak dapat datang bekerja dan majikan yang tidak tahu masalah ini menganggap bahawa mereka ini mungkin tidak datang bekerja kerana ponteng,” katanya.

Jelas Wan Norashikin, setakat ini dianggarkan 1,730 remaja perempuan menghadapi masalah kemiskinan haid di Perak.

Justeru katanya, untuk peringkat permulaan kit bantuan yang mempunyai tuala wanita pakai buang, tuala wanita guna semula, pencuci wanita, tuala kecil serta tisu basah akan diagihkan kepada 2,000 penerima di 12 daerah di seluruh negeri.

Tambah beliau pihaknya juga akan memperluas penggunaan tuala wanita mesra alam dan kitar semula yang dilihat praktikal dan menjimatkan kos.

Selain itu katanya, usaha juga sedang dibuat untuk meletakkan mesin vendor tuala wanita di sekolah dan kawasan-kawasan rekreasi yang mempunyai kemudahan bilik air lengkap.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan program Kemiskinan Haid Pemberian Kit Asas Sanitasi Wanita Negeri Perak di Ipoh hari ini.

Kajian kemiskinan haid oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) tahun lalu mendapati 13.1 peratus remaja perempuan dan wanita berpendapatan rendah tidak mampu membeli tuala wanita.

Kajian rintis itu melibatkan golongan berusia 13 hingga 24 tahun di 13 komuniti projek perumahan rakyat dan dua institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat. –AlHijrah Online

Leave a Reply