BANTUAN KEWANGAN KHAS AIDILFITRI BERJUMLAH RM500

GAMBAR KREDIT SINAR HARIAN

PUTRAJAYA: Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 akan diberikan kerajaan kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan Contract of Service, Contract For Service, pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah inisiatif MySTEP atau Short-term Employment Programme.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pesara kerajaan akan turut menerima bantuan khas tersebut berjumlah RM250.

“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh mencabar ini.

“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan Mei iaitu pada 6 Mei 2021,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Bantuan kewangan tersebut dimaklumkan akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, bantuan tersebut diumum lebih awal berbanding tahun sebelum ini atas keprihatinan kerajaan dalam membantu penjawat awam dan pesara membuat persiapan awal menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Bantuan tersebut diharap kerajaan akan dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi. — AlHijrah Online

Leave a Reply