BAPA BUNUH BAYI DIREMAN, DISYAKI MENGAMAL AJARAN SESAT

Sumber: BERNAMA

BACHOK: Seorang pekebun yang merupakan suspek kes bunuh bayi berumur lapan bulan direman selama tujuh hari.

Majistret Mohd Dinie Syazwan Ab Shukor mengeluarkan perintah reman selepas mendengar permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret Bachok, pagi tadi.

Perintah reman tersebut dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat Shafien tidak menolak kemungkinan, bahawa suspek ada kaitan dengan ajaran sesat.

Suspek tiba di mahkamah menaiki kenderaan polis namun enggan keluar dan membaca beberapa ayat Al-Quran, dengan alasan ingin berdoa.

Sumber: BERNAMA

Bagaimanapun, polis terpaksa mengusung lelaki itu untuk masuk ke dalam mahkamah selepas 10 minit memujuk suspek untuk memberi kerjasama.

Menurut laporan media semalam, kulit leher mayat bayi itu mengelupas setelah dilumur dengan garam kasar, selain kesan lebam di seluruh anggota badan.

Dalam insiden pembunuhan menyayat hati itu, bayi tersebut dipercayai dibunuh suspek yang juga bapanya menggunakan objek tumpul sebelum mangsa dilumurkan dengan garam dan disimpan di dalam karung guni yang disorok di bahagian dapur rumah.

Ibu kepada bayi itu yang berusia 32 tahun, dikurung di dalam bilik semasa kejadian berlaku dan kesan lebam turut dikesan di tangannya.

Suspek dipercayai mengalami masalah mental, kerana bercerita tentang hantu dan perkara yang tidak masuk akal kepada jirannya sejak dua minggu lalu.

Sehingga kini, suspek tidak memberi keterangan, sebaliknya berzikir dan memaklumkan dia mendengar suara malaikat sebelum membunuh bayinya itu.

Hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Raja Perempuan Zainab Dua, polis mengesahkan bayi itu cedera di kepala yang berkemungkinan akibat hentakan atau terjatuh.–AlHijrah Online

Leave a Reply