BEKAS MUDIR TAHFIZ DIDAKWA 15 TUDUHAN AMANG SEKSUAL

IPOH: Bekas pengetua sebuah maahad tahfiz di Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual ke atas lima pelajar lelaki pusat itu, tahun lalu.

Azizul Yahya, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut pertuduhan, Azizul yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu ke atas lima pelajar berusia 12 hingga 15 tahun di sebuah maahad tahfiz di Batu Gajah antara Februari hingga Oktober 2021.

Bagi pertuduhan pertama hingga 14, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memaksa mangsa melakukan seks oral, menggosok dan memegang kemaluan dan melakukan onani serta mencium bibir mangsa.

Tertuduh turut berdepan satu pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan video lucah yang bersifat seksual.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 14(a), 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 15(e) akta sama yang peruntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Mahkamah menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen berkaitan. — Hamimah Hamid

Leave a Reply