JUMLAH TRAFIK DIJANGKA MENINGKAT 1.6 JUTA PADA TAHUN BARU CINA

GAMBAR: AFP

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan jumlah trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta buah kenderaan sepanjang perayaan Tahun Baru Cina bermula 28 Januari sehingga 6 Februari ini.

Bagi menguruskan peningkatan trafik yang mendadak, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan dan panduan buat orang ramai dalam merancang perjalanan mereka.

“Orang ramai yang akan bergerak meninggalkan Lembah Klang untuk ke destinasi-destinasi di utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak serta Johor di selatan disarankan supaya mula memasuki lebuhraya sebelum jam 10:00 pagi.

“Untuk ke destinasi-destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, orang ramai dinasihatkan supaya mula memasuki lebuhraya selepas jam 1:00 tengahari,” kata PLUS menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata orang ramai digalakkan merancang perjalanan mereka berpandukan kepada TTA bagi mengelakkan kemungkinan kesesakan di lebuhraya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan ketika berhenti rehat di R&R dan hentian sebelah di sepanjang lebuhraya.

Katanya PLUSRonda juga sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada pengguna lebuhraya dan boleh dihubungi menerusi talian PLUSLine 1800-88-0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari. – AlHijrah Online

Leave a Reply