MERUSUH, DUA LELAKI DITAHAN

IPOH: Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes merusuh di hadapan sebuah restoran di Station 18, Ipoh yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dua lelaki terbabit masing-masing berusia 23 dan 27 tahun ditahan di lokasi kejadian.

Kedua-duanya ditahan selepas polis mengesan satu hantaran dalam media sosial berkaitan pergaduhan yang berlaku di kawasan terbabit dan satu laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat pada pukul 11.51 malam Khamis.

Jelas beliau, siasatan mendapati insiden itu melibatkan seorang lelaki yang dituduh mencuri telefon bimbit,

“Ekoran tuduhan itu, telah berlaku kejadian kejar mengejar antara mangsa dan suspek sehingga kereta dipandu mangsa melanggar sebuah kenderaan lain sebelum berlaku rusuhan oleh sekumpulan individu termasuk pekerja penghantaran makanan.

“Akibat rusuhan itu, kenderaan mangsa dirosakkan dengan menggunakan kerusi dan kon plastik serta batu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Datuk Mior Faridalathrash, berdasarkan siasatan, kecurian telefon bimbit oleh mangsa tidak dapat dibuktikan.

“Kita telah menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian itu untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

“Kita sedang mengesan beberapa individu lain bagi membantu siasatan kes tersebut. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu juga diminta tampil memberi keterangan,” katanya.

— AlHIjrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply