BEKAS PENGERUSI MCPF KL, PENCERAMAH BEBAS TUDUHAN PECAH AMANAH DAN BERSUBAHAT

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membebaskan bekas Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Kuala Lumpur (MCPF KL) dan seorang penceramah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah dan bersubahat membabitkan dana yayasan itu berjumlah RM195,000.

Hakim Datin Sabariah Othman memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Bok Siew Mun dan Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir.

“Pihak pendakwaan hanya membuktikan satu elemen sahaja berkaitan pecah amanah iaitu tertuduh pertama (Bok) adalah seorang ejen (bekas Pengerusi MCPF) manakala tiga elemen utama lain gagal dibuktikan iaitu beliau mempunyai kawalan dan penguasaan terhadap wang RM195,000.

“Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa tertuduh pertama mempunyai niat curang untuk melakukan pecah amanah semasa meluluskan pengeluaran wang tersebut kerana kesemua proses telah dibuat di dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa MCPK KL,” katanya.

Beliau berkata elemen subahat juga gagal dibuktikan iaitu sama ada tertuduh kedua mempunyai niat untuk membantu atau berkonspirasi dalam melakukan pecah amanah bersama Bok.

“Selain itu, terdapat beberapa keterangan saksi pendakwaan yang bercanggah dan mempunyai versi berbeza, justeru mahkamah mendapati kes pendakwaan lemah dan gagal dibuktikan.

“Oleh itu, pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie dan mahkamah dengan ini melepas serta membebaskan kedua-dua tertuduh daripada pertuduhan tersebut,” kata hakim itu.

Kes itu sebelum ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi manakala peguam Fahmi Abd Moin mewakili kedua-dua tertuduh.

Perbicaraan bermula pada 28 Okt 2022 dan pendakwaan menutup kesnya pada 12 Julai selepas 13 saksi memberi keterangan.

Bok sebagai Pengerusi MCPF KL, yang diamanahkan penguasaan ke atas harta iaitu dana yayasan itu, didakwa melakukan pecah amanah dana yayasan dengan mengarahkan bayaran secara cek berjumlah RM195,000 kepada Syarikat Trio Green Hornet Sdn Bhd di Maybank Berhad, Cawangan Bandar Sri Permaisuri di sini pada 26 Feb hingga 31 Mei 2019.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman minimum penjara dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Saiful Hamiruzzaman pula didakwa bersubahat dengan Bok untuk melakukan pecah amanah berkaitan dana yayasan sama dengan mengemukakan invois milik Syarikat Trio Green serta menandatangani baucar bayaran yayasan itu di tempat dan pada tarikh sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman sama, jika sabit kesalahan. — AlHijrah Online

Leave a Reply