BINCANG NIAGA TAWAR PAKEJ IKLAN SERENDAH RM5,000

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Maulidur Rasul akan datang, program Bincang Niaga TV AlHijrah akan diteruskan buat kali ketiga pada tahun ini dalam membantu usahawan tempatan yang terjejas akibat COVID-19.

Dengan promosi iklan serendah RM5,000, para usahawan berpeluang mengukuhkan jenama produk mereka menerusi platform TV AlHijrah di kaca televisyen dan digital.

Program Bincang Niaga yang mula dilancarkan pada tahun lepas mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan usahawan tempatan terutama yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menurut Pegawai Strategi Media TV AlHijrah, Eliana Ahmad Sukal, pengiklanan produk menerusi televisyen memberi nilai tambah berbanding menggunakan platform dalam talian seperti di media sosial.

“Bukan mudah untuk sesuatu produk disiarkan di kaca televisyen kerana dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

“Kebanyakan produk yang muncul di kaca televisyen lebih diyakini pengguna kerana telah melalui tapisan pihak berwajib,” katanya.

Usahawan yang mendaftar berpeluang mengikuti program Bincang Niaga yang bersiaran secara langsung pada 20 Oktober ini, di mana terdapat beberapa sesi perkongsian oleh usahawan terpilih yang telah menyertai pengiklanan di TV AlHijrah sebelum ini.

Menurutnya lagi, bincang niaga kali ini merupakan antara inisiatif TV AlHijrah dalam meningkatkan ekonomi ummah dengan membantu usahawan serta menawarkan produk berkualiti kepada segenap lapisan penonton TV AlHijrah.

Pendaftaran telah dibuka bermula hari ini sehingga 20 Oktober depan dan maklumat lanjut boleh layari laman sesawang TV AlHijrah di http://www.tvalhijrah.com/bincangniaga. –AlHijrah Online

Leave a Reply