CEBISAN TULANG DIPERCAYAI MILIK MANGSA KEDUA RUNTUHAN KUARI DITEMUI

SIMPANG PULAI: Cebisan rangka kedua tulang manusia yang dipercayai milik mangsa kejadian runtuhan batu tapak kuari di Keramat Pulai, pada Mac lalu, ditemukan tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Muhamad Shahrizal Aris berkata, cebisan tulang tersebut ditemui pada jam 12 tengah hari berhampiran lokasi jengkaut kedua yang ditemui semalam.

“Selepas kita menjumpai jengkaut (semalam), proses pencarian terus dilakukan di lokasi tersebut dan kami menjumpai cebisan kain dan sedikit bau, dan kami mengenal pasti terdapat cebisan tulang,” katanya.

Kata Shahrizal, seramai 10 anggota termasuk seorang pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai meneruskan kerja-kerja pencarian di lokasi runtuhan batu itu bermula jam 8 pagi.

Ujarnya, kerja-kerja pencarian diteruskan bersama pihak kuari selepas jengkaut kedua ditemui pada jam 5.01 petang semalam.

Sementara itu Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, usaha sedang giat dijalankan bagi mengeluarkan jengkaut kedua yang masih tertimbus di bawah timbunan batu akibat runtuhan kuari di lokasi berkenaan.

Mohd Yusri berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) diketuai Ketua Polis Daerah Ipoh yang dibantu anggota JBPM Perak serta Jabatan Mineral dan Geosains Perak berjaya menemui serpihan jengkaut yang disyaki dikendalikan oleh mangsa kedua.

Selepas enam bulan insiden runtuhan batu di tapak kuari itu berlaku, semalam pengusaha kuari menemui satu daripada dua bangkai jengkaut yang tertimbus sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Pasukan penyelamat kemudian menemui cebisan rangka dan tulang dipercayai manusia dan pakaian.

Mohd Yusri berkata, cebisan tulang dan rangka manusia yang ditemukan itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, ia bagi membolehkan proses bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan untuk pengesahan identiti mangsa.

Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada jam 9.15 pagi 8 Mac lalu mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew soon, 49 tahun.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke HRPB untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.—AlHijrah Online

Leave a Reply