CEO TV ALHIJRAH ANTARA 40 SUKARELAWAN IMARET BANTU CAC STADIUM MALAWATI

CEO TV ALHIJRAH DENGAN PAKAIAN PPE MEMBANTU PESAKIT COVID-19 DI CAC STADIUM MALAWATI

SHAH ALAM: Terkesan dengan situasi COVID-19 dalam negara, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris hari ini menyahut seruan Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) untuk tampil menjadi sukarelawan membantu petugas barisan hadapan memerangi COVID-19.

Beliau antara 40 sukarelawan IMARET yang membantu petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Malawati, Shah Alam.

Tiba seawal 7.30 pagi di CAC Stadium Malawati, Namanzee menjadi sukarelawan non-medikal, ditugaskan di bahagian “crowd control” dengan tugasan memastikan pesakit mengikuti laluan betul sebelum menemui doktor untuk tujuan penilaian tahap COVID-19.

“Saya sebenarnya sudah penat berjuang di media sosial atau di media massa sahaja. Bila masuk PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ketiga, saya rasa penat dan nak turun padang untuk membuktikan perjuangan diri (membantu negara memerangi COVID-19).

“Bila kita tengok Palestin, betapa kuatnya iman mereka dengan anak-anak kecil menggunakan batu untuk melawan kereta kebal. Kalau kita tak mampu berdepan musuh tak nampak (COVID-19) dengan membantu frontliner, bagaimana nak lawan musuh yang nyata,” katanya kepada AlHijrah Online di sini hari ini.

CAC Stadium Malawati mengendalikan kes-kes pesakit positif COVID-19 dari Daerah Petaling, bertujuan membuat penilai tahap klinikal pesakit sama ada dibenarkan menjalani kuarantin di rumah atau di pusat kuarantin.

IMARET merupakan satu-satunya NGO yang membantu CAC Stadium Malawati setakat ini. Ia telah menghantar lebih 200 sukarelawan, medikal dan non-medikal, ke CAC Stadium Malawati sejak tiga minggu lalu.

Di awal pembukaannya pada Ramadan lalu, CAC Stadium Malawati menerima antara 800 hingga 1,200 pesakit sehari dengan angka tertinggi pernah dicatatkan mencecah 1,600 pesakit sehari pada awal minggu ini.

Menyifatkan situasi semakin mendesak, Namanzee berkata, negara memerlukan bantuan sukarelawan medik dan non-medik untuk membantu frontliners mengekang COVID-19.

Koordinator Task Force COVID-19 IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata pihaknya bersyukur kerana ramai rakyat Malaysia tampil ke depan menjadi sukarelawan selepas IMARET menggerakkan kempen sukarelawan membantu petugas KKM.

“Dalam tempoh tiga minggu ini juga, kita berjaya menyelesaikan masalah kesesakan pesakit di CAC Stadium Malawati seperti dibangkitkan dalam video tular di media sosial sebelum ini.

“Kita telah berjaya mengurangkan masa menunggu. Kalau di bulan Ramadan, proses penilaian harian terpaksa ditutup sehingga lewat petang, kini sebelum tengah hari kita berjaya menguruskan pesakit-pesakit dalam jumlah sama dengan lebih cepat,” kata Dr Munawwar.

Selain menghantar sukarelawan, IMARET turut menyumbang 15 laptop dan 10 peralatan perubatan untuk kegunaan petugas di CAC Stadium Malawati.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada IMARET boleh menyalurkan dana ke Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) 8600 703 709 (CIMB). – AlHijrah Online

Leave a Reply