CHULIO, ANJING K9 TERIMA PINGAT PDRM

Sumber Gambar: Facebook IPD Batu Gajah

BATU GAJAH: Seekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia menerima pingat ‘Jasamu Dikenang’ atas kejayaan mengesan mayat seorang warga emas yang hilang pada 11 Mei lalu.

Anjing baka German Sherpherd bernama Chulio dari K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menerima pingat yang disampaikan Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif dalam majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di sini, pagi tadi.

Sumber Gambar: Facebook IPD Batu Gajah

Menerusi hantaran di Facebook IPD Batu Gajah, penjaga Chulio, Koperal Tony Matius Farang turut diberi pingat penghargaan dalam majlis yang sama.

“Chulio turut dihadiahkan makanan berkhasiat sebagai ganjaran di atas usahanya membantu pihak polis,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, anjing tersebut yang diperoleh dari United Kingdom (UK) itu sudah berkhidmat selama lima tahun, kata Tony Matius.

“Chulio sudah mengikuti lebih daripada 50 operasi dan ini adalah kejayaan kedua terbesar selepas turut berjaya mengesan mangsa yang tertimbus bawah tanah di Cameron Highlands pada April lalu.

“Chulio yang diberi latihan setiap hari sememangnya mempunyai kelebihan dan kepakaran khusus untuk mengesan mayat,” katanya.

Chulio diberi penghargaan atas kejayaan menjumpai mayat warga emas lemas di sebuah paya berhampiran ladang kelapa sawit.—AlHijrah Online

Leave a Reply