COVID-19: MAEPS HANYA AKAN TEMPATKAN PENDATANG TANPA IZIN SELEPAS INI

Last Updated on

PUTRAJAYA: Pusat kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) selepas ini hanya akan menempatkan pendatang tanpa izin yang dikesan positif COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata rakyat tempatan yang dikesan positif virus itu tidak lagi ditempatkan di MAEPS malah mereka yang dikuarantin di pusat tersebut sebelum ini telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh mulai semalam.

Bercakap di sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini, Ismail Sabri berkata beliau melawat pusat itu pagi tadi dan kerja-kerja memasang kawat berduri dilihat telah dimulakan selain jumlah anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia semakin ramai.

Beliau berkata kawalan ketat sedemikian terpaksa dilaksanakan memandangkan terdapat kekhuatiran pendatang tanpa izin terbabit akan mengambil kesempatan melarikan diri ketika dikuarantin disebabkan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap.

“Lokal hari ini terakhir (di MAEPS)… Kita tidak mahu bercampur ada pendatang tanpa izin ada rakyat kita di MAEPS, biar pendatang tanpa izin sahaja sebab itu kita letak kawat berduri dan sebagainya. Kalau rakyat kita, tak pernah kita letakkan kawat berduri pasal mereka tak akan lari.

“Kalau rakyat Malaysia, senang, mereka ada IC (kad pengenalan), ada alamat rumah, ada saudara mara, kita boleh cari, cari rumah mereka, cari isteri mereka, di mana mereka berada.

“Kalau pendatang tanpa izin, mereka memang tidak boleh daftar atas nama siapa, di mana mereka ada, apa alamat mereka, siapa saudara mereka. Sebab itu kita terpaksa letak kawat mengelilingi MAEPS. Jadi untuk itu, kita keluarkan rakyat kita dari MAEPS,” katanya

MAEPS, yang merupakan taman agro terbesar di Asia, sebelum ini diubah suai menjadi pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 bagi kes risiko rendah dan mampu menempatkan sebanyak 600 katil.

Setakat hari ini, sejumlah 207 pendatang tanpa izin yang dikesan positif COVID-19 di tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI) iaitu di Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang akan dipindahkan ke MAEPS.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, berkata saringan secara menyeluruh telah dan akan dijalankan terhadap kesemua tahanan, pegawai dan pihak yang mempunyai kaitan dengan depoh terbabit seperti pembekal makanan.

“Mereka yang negatif kekal (di depoh) dan kita akan membuat saringan kali kedua dan yang positif terus dihantar ke MAEPS,” katanya.

Ketika ini, terdapat sejumlah 4,346 tahanan di ketiga-tiga depoh dengan 1,654 daripada mereka ditempatkan di DTI Semenyih, DTI Bukit Jalil (1,334) dan DTI KLIA, Sepang (1,358).

Ismail Sabri turut meminta orang ramai agar tidak berasa bimbang dengan peningkatan jumlah kes positif COVID-19 dalam kalangan tahanan terbabit memandangkan mereka berada dalam kawasan depoh.

“Jadi peluang untuk mereka menularkan COVID-19 di luar adalah hampir tidak ada kerana kesemuanya di dalam (depoh). Kita buat saringan kepada semua pendatang tanpa izin termasuk pegawai dan yang didapati positif terus dihantar ke MAEPS.

“Jadi kalau Ketua Pengarah Kesihatan umumkan kes meningkat, itu bukanlah daripada rakyat Malaysia tetapi pendatang tanpa izin yang telah kita kurung dalam depoh tahanan,” katanya. — BERNAMA

Leave a Reply