TV ALHIJRAH KEKAL SALURAN ISLAMIK NO. 1 NEGARA KETIKA PKP, PKPB

KUALA LUMPUR: AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) kekal sebagai saluran Islamik nombor satu negara ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menguasai syer saluran telesiyen Islamik melebihi tiga kali ganda berbanding saluran Islamik, demikian menurut data Nielsen Media Research.
Antara resepi penguasaan syer saluran Islamik ialah penyediaan kandungan TV bersumberkan al-Quran yang diterima ramai melalui rancangan Malaysia #QuranTime yang meraih sejuta tontonan.
Satu lagi program yang bersumberkan al-Quran, Maidatul Quran mencatat 500,000 penonton.
TV AlHijrah juga mencapai peningkatan 41 peratus sepanjang pelaksanaan PKP/PKPB bagi membendung penularan COVID-19 dengan jumlah audiens penonton meningkat 44 peratus pada Isnin hingga Jumaat.
Rating TV AlHijrah turut melonjak tujuh kali ganda pada slot masa 12 hingga 1 tengah hari dan meningkat tiga kali ganda pada slot masa 4 hingga 7 pagi sepanjang tempoh itu.
Stesen TV Islamik itu juga mencatat peningkatan 50 peratus bagi segmentasi penonton dewasa berusia 50 tahun ke atas, selain mencatat peningkatan 53 peratus tontonan di market centre.
Platform digital TV AlHijrah juga mencatat peningkatan iaitu peningkatan dua kali ganda jumlah Like di Facebook TV AlHijrah berbanding sebelum penguat kuasaan PKP pada 18 Mac lalu.
Data Facebook Insights dan Google Analytic menunjukkan kandungan Facebook TV AlHijrah dikongsi 900,000 sepanjang tempoh PKP iaitu 42 peratus lebih tinggi berbanding sebelum pelaksanaan PKP.
Manakala Facebook Live Sidang Media COVID-19 dan Malaysia #QuranTime ditonton sebanyak 24 juta kali.
Data wordpress bagi portal AlHijrah Online pula mencatat 768,000 page views dengan peningkatan 287 peratus semasa tempoh PKP.
Artikel portal itu mengenai pernikahan online dilaksanakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 18 April dikongsi 210,000 kali, demikian menurut data wordpress alhijrahnews.com.
Portal terbaru TV AlHijrah, HBIT mencatat 248,000 page views sepanjang tempoh PKP iaitu peningkatan 12 kali ganda daripada tempoh sebelumnya.
Artikel di portal HBIT TVAH berkaitan Covid-19 mendapat sejumlah 62,900 perkongsian.
Prihatin dengan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terjejas teruk akibat pelaksanaan PKP/PKPB, TV AlHijrah menawarkan slot iklan percuma kepada peniaga IKS terpilih melalui Pakej Stimulus IKS TV AlHijrah.
Sehingga kini hampir 300 peniaga IKS, daripada 1,800 permohonan diterima, mendapat manfaat airtime atau ruang siaran iklan percuma bernilai hampir RM10 juta di platform televisyen dan digital TV AlHijrah. – AlHijrah Online