COVID-19: SIAPA YANG GAGAL?

Oleh: Ardi Herman Mohd Mardzi

‘Frontliners’ menanti sinar sebuah kehidupan baharu pasca COVID-19. Sumber AFP

Sengaja tajuk ini dipilih untuk menjentik pemikiran pembaca tentang dilema yang sedang dilalui rakyat Malaysia ketika ini. Persoalan itu tidak ada jawapan di sini, sebaliknya terletak di dalam hati kalian semua yang sedang membaca.

Jelas sekali, negara tercinta belum pulih daripada pandemik COVID-19, malah belum menang menentang virus pembunuh itu yang sedang ghairah bertebaran di seluruh pelusuk bumi. Ia semakin mengganas dengan bijak bermutasi, malah ditemui pula pelbagai varian yang membingungkan kebijaksanaan otak manusia.

Pun begitu, saya percaya setiap penyakit ada ubatnya. Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Malah, setiap kepayahan akan ada bersamanya kesenangan. Bukan saya kata, tetapi itu bicara Allah dalam Surah Al-Insyirah.

Saya seboleh-bolehnya tidak mahu sentuh perihal isu politik semasa melanda negara. Bagi saya, secara ‘straightforward’, politik bukan keutamaan ketika ini. Malah saya setuju pendapat segelintir pakar, golongan profesional malah ahli politik sendiri yang menyeru agar ‘gencatan politik’ dikuatkuasakan pada skala yang besar.

Perlu diingat bahawa musuh jelas yang harus ditentang adalah sekecil-kecil makhluk yang tak dapat kita lihat dengan mata kasar.

Apa hasil daripada sidang khas di Dewan Rakyat baru-baru ini? Sumber AFP.

GENCATAN POLITIK?

Saya terkilan. Saya percaya sebahagian rakyat Malaysia melihat senario politik semasa amat memualkan. Ada juga menyifatkan pentas parlimen yang dibuka tempoh hari langsung tidak menjurus penyelesaian untuk membantu rakyat.

Dewan Rakyat yang mulia, sebaliknya hanya menjadi medan bertikam lidah menuding jari, menuduh tohmah, dan mencaci maki.

“Cuma lebih indah jika sepanjang perbahasan, segala tutur bahasa dijaga dengan rapi. Saling hormat tanda mengasihi. Budaya ketimuran sentiasa dijunjung tinggi. Apa jua yang dibincangkan moga rakyat jua beroleh manfaatnya.”

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Albakri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)

Letaklah jauh-jauh kalkulator kalian. Ini bukan masa sesuai mengira majoriti siapa yang berkuasa. Kita kini berdepan musuh, namun rupa-rupanya musuh hanya mentertawakan kita kerana kita semakin berpecah belah dan bertelingkah!

Kita mungkin akan tewas bukan kerana musuh, tetapi kerana sikap sesama sendiri yang saling menjatuhkan. Itulah lumrah manusia yang bernafsu, menjulang sikap tamak dan meminggir rasional diri.

Saya pasti ramai kecewa dengan orang politik. Masing-masing cuba menunggang frasa ‘berjuang demi rakyat’, namun hakikat sebenar marhaen di bawah hanya menggeleng kepala, melutut dan merayu, bahkan menangis serta tersungkur menyembah bumi dan menunggu masa untuk mati.

Baiklah, saya mungkir janji. Kerana terdahulu saya menulis bahawa saya tidak mahu berbicara perihal politik negara. Maafkan saya.

Kerajaan gagal atau rakyat gagal? Ingin saya tegaskan semula, ini bukan tajuk untuk menuding jari. Ia hanya pertanyaan yang menjentik hati. Tanyalah diri, jawab seikhlas hati. Terma-terma ini pernah menjadi popular dan sohor kini.

Pengurusan jenazah pesakit COVID-19 juga satu cabaran yang tidak harus dipandang remeh.

COVID-19 SEMAKIN MENGERIKAN

Statistik jangkitan COVID-19 di Malaysia semakin tinggi. Video-video tular setiap hari semakin ngeri. Beratur van jenazah menuju pusara sebagai destinasi abadi. Keluarga hanya mampu meratapi, sama ada dari jauh mahu pun hanya menggunakan peranti.

Banyak kita perlu tanya diri sendiri. Sejauh mana perkara asas kita patuhi? Sekuat mana kita mampu menahan diri? Semutlak mana kita sebagai hamba-Nya menyerah diri?

Mana mungkin jangkitan meningkat tinggi, melainkan prosedur operasi standard (SOP) asas dikhianati. Memberi bola tanggung buat virus korona bermahkota itu membunuh lebih ramai lagi insan yang kita sayangi.

Lihatlah video-video tangisan keluarga yang melihat sendiri ibu dan bapa berdepan sakaratulmaut, hanya melalui panggilan video telefon pintar. Tidak dapat diusap, tidak boleh dibelai rambut dan wajah mereka yang menunggu masa dijemput Ilahi. Betapa peritnya saat itu.

Laungan anak kecil yang menjerit dan memekik memanggil bapanya yang tidak lagi bernyawa. Hanya melihat jauh jasad si bapa ditanam hingga selesai sempurna.

Benar, itulah angkara COVID-19 yang dahsyat dewasa ini. Kejamnya virus ini hingga menafikan hak dan fitrah insani untuk memeluk erat sekujur tubuh yang amat disayangi dan bakal dirindui.

Suntikan vaksin sebagai salah satu kaedah menjaga nyawa. Sumber Gambar: BERNAMA

JAGALAH NYAWA

Fahamilah, bahawa setiap daripada kita bertanggungjawab menjaga nyawa sesama kita. Prinsip Maqasid Syariah menterjemah kepentingannya demi kemakmuran sebuah kehidupan. Itulah yang diamalkan ketika ini. Sedaya upaya pihak pemerintah cuba memelihara nyawa lebih 32 juta rakyat Malaysia. Sematkanlah, dan akuilah di dalam hati, bahawa iabukan tugas mudah.

Dari peringkat pentadbir negara hinggalah ‘frontliner’ yang sangat mulia, percaturan perlu menjurus jalan kemenangan, bukannya tersilap langkah, jauh sekali ingin tewas dan mengaku kalah.

Di sinilah perlunya gandingan bahu rakyat Malaysia, meletakkan sokongan, malah menyumbang idea bernas kepada kerajaan dalam usaha mengekang penyebaran jangkitan.

Kini bukan masa menuding jari. Bukan masa menunjukkan siapa hebat, jauh sekali berniat busuk melumpuhkan usaha dan strategi yang hendak dituju.

Wahai hamba Allah di muka bumi. Kematian itu pasti. Perasan atau tidak, ia semakin dekat menghampiri. Angka korban bertambah dari siang ke malam, terus hingga hingga ke pagi. Media sosial menjadi saksi, hanya catatan dan gambar kenangan abadi.

Menikmati kebebasan daripada wabak adalah matlamat mutlak seluruh rakyat Malaysia. Sumber AFP.

KITA SEDANG HEBAT DIUJI

COVID-19 sebenarnya menguji Malaysia dalam aspek penyatuan hati dan sanubari. Laungan ‘bersatu padu’ yang kerap kali menjadi cerminan rakyat Malaysia, teruji kini. Adakah kita benar-benar bersatu hati melawan musuh? Atau kita memusuhi sesama kita, hingga musuh ‘menang tanpa bertanding’?

Kepada pemerintah yang dihormati, ada rakyat sedang sengsara. Namun rakyat juga masih menaruh harapan tinggi untuk sama-sama menjulang kejayaan mengatasi virus pembunuh ini.

Rakyat bersyukur atas segala bantuan dan pemberian, insentif dan galakan. Namun rakyat juga dahagakan strategi berkesan dalam menuju pemulihan tanah air tercinta.

Buktikanlah setiap langkah adalah hasil kebijaksanaan para cerdik pandai, pakar dan pemikir ulung berpengalaman yang bersatu hati dan sepakat merealisasikan sebuah kejayaan di akhir nanti.

Syabas kerana kejayaan mempercepat proses vaksinasi. Satu pencapaian yang tidak boleh dinafi. Tindakan kerajaan yang wajar dipuji.

Sebagai pengamal media, saya akui menjadi saksi usaha keras kalian, merencana sebuah pemulihan yang nyata memerlukan sokongan, dokongan dan sumber kekuatan. Menghadiri taklimat di peringkat tertinggi tentang situasi semasa pandemik di negara ini, saya akui, bukan mudah untuk mengharungi senario ketika ini.

Individu yang sentiasa menjadi tumpuan rakyat Malaysia, malah diiktiraf kepakarannya di peringkat dunia.

Kepada rakyat Malaysia yang dikasihi, patuhilah SOP sebagai perkara paling asas dalam kehidupan sehari-hari. Belajarlah menahan diri daripada mengingkari. Sematkan sekelumit kesabaran, kerana ia sifat mulia lagi terpuji.

Sebarkanlah kebaikan di alam maya, kongsikanlah hujah ilmu dan fakta. Hadirkanlah kegembiraan kepada yang membaca, bukan mencetus kontroversi, mencari populariti dan menyebar auta.

Hentikanlah sementara percaturan kuasa, tumpulah kepada tanggungjawab sebagai anak Malaysia. Kembalikanlah Malaysia sebagai tanah air yang aman damai, sentosa dan sejahtera.

Kembalikanlah sifat terpuji rakyat Malaysia, sopan santun, adab susila dan hormat-menghormati yang sentiasa dikagumi dunia.

Sedarlah, kita kini berdepan ancaman nyawa. Kita mungkin belum merasa, namun insan sekeliling sudah menghadam peritnya sebuah kehilangan yang tidak dijangka.

Kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa turut menjadi mangsa jangkitan COVID-19. Sumber AFP.

Wahai petugas barisan hadapan, saya pasti ganjaran mulia menanti. Ujian dunia ketika ini menjadi asbab untuk kalian menuai hasil di alam kekal abadi. Moga-moga Allah ganjari kesabaran dan keikhlasan yang kalian harungi. Berkhidmatlah seikhlas hati, dan yakinilah seluruh rakyat turut berdoa untuk kejayaan semua satu masa nanti.

Sampai bila senario sebegini akan berterusan? Sumber AFP.

Berdoalah kepada Allah agar kemenangan berpihak kepada kita satu hari nanti. Dan kisah kemenangan yang menyusuli ujian berat itu akan membuatkan kita tersenyum dengan linangan air mata kegembiraan satu hari nanti.

Dengan izin Allah.

*Penulis adalah Pengurus Berita dan Ehwal Semasa, TV Alhijrah

Leave a Reply