DAPUR IT’AM: LEBIH 25,000 KELUARGA KELOMPOK SASAR DAPAT MANFAAT

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 25,200 keluarga, terutamanya golongan asnaf, kelompok B40, frontliners dan rakan jalanan mendapat manfaat daripada program Dapur It’am Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata melalui program itu, sebanyak 72 masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mengagihkan juadah berbuka untuk anak kariah dan golongan sasar.

Beliau berkata Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyumbangkan RM2.16 juta bagi program itu yang dijangka memberi manfaat kepada 25,200 keluarga.⁣

“Petugas dihadkan kepada enam orang sahaja dan wajib mendapatkan suntikan imunisasi tifoid.

“Masjid ditutup dan semua persiapan hanya di bahagian dapur saja. Facemask, sarung tangan dan hand satinizer adalah wajib. Juadah akan diagihkan terus kepada penerima tanpa perlu mereka hadir,” kata Zulkifli dalam entri beliau di Facebook hari ini.⁣

Menteri agama itu hari ini meninjau persiapan juadah berbuka untuk anak kariah Masjid Zaid bin Thabit di ibu negara.

“Saya amat berharap sedikit inisiatif kami ini dapat memberi kelegaan kepada golongan sasar dalam menghadapi Ramadhan dalam PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply