Denda kerana gagal kemuka dokumen caruman pekerja

Syarikat yang gagal mengemukakan dokumen caruman pekerja kepada PERKESO akan berdepan tindakan mahkamah. – Foto google

KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Tiga syarikat perkapalan didenda rm7,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu  kerana gagal mengemukakan dokumen pembayaran caruman pekerja kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dua tahun lalu.

Denda sebanyak rm2,500 dikenakan ke atas setiap majikan itu diputuskan oleh majistret Noradila Ab Latif selepas wakil syarikat berkenaan  mengaku  bersalah.

Tiga syarikat itu ialah Mset Offshore Corporation Sdn Bhd, Mset Shipbuilding Sdn Bhd dan Mset Holdings Sdn Bhd.

Hukuman tambahan penjara empat bulan turut akan dikenakan sekiranya pihak pengurusan syarikat gagal membayar denda berkenaan. Namun kesemuanya membayar denda tersebut.

Menurut kertas pertuduhan, dalam pemeriksaan pada jam 10 pagi 7 februari 2017 lalu, kesemua syarikat yang berpejabat di Pulau Kambing itu gagal mengemukakan dokumen penggajian yang mengandungi maklumat pembayaran caruman PERKESO ke atas 50 kakitangannya.

Ia  susulan aduan mengenai kegagalan syarikat melunaskan caruman pekerjanya dan pengabaian tiga surat peringatan dikeluarkan PERKESO agar  mengemukakan dokumen tersebut bermula 15 Februari hingga 28 Mei 2017.

Saman turut difailkan PERKESO terhadap tiga syarikat berkenaan pada 7 Oktober tahun lalu, namun dokumen tersebut masih gagal dikemukakan.

Kesemua syarikat didakwa dibawah Seksyen 94 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM10 ribu atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Leave a Reply