DERA REMAJA OKU, PENGASAS RUMAH BONDA MENGAKU TIDAK BERSALAH

KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan pengabaian terhadap seorang remaja perempuan sindrom down pada Jun lalu.

Pertuduhan terhadap Siti Bainun Ahd Razali, 29 tahun itu dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun yang dipertanggungjawabkan menjaga remaja orang kurang upaya (OKU) itu, telah mengabaikan remaja berkenaan sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Seksyen 10, Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun lalu yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Izralizam membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dengan beberapa syarat iaitu tertuduh tidak dibenarkan menganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Siti Bainun juga perlu menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah menetapkan tarikh 4 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.—AlHijrah Online

Leave a Reply