DERITA WANITA PALESTIN SARAT HAMIL BERTARUNG NYAWA DI PENJARA ISRAEL

Anhar bersama suami dan anak sulungnya, Julia.

Oleh: Ardi Herman Mohd Mardzi

RAMALLAH, PALESTIN: Nama seorang wanita Palestin, Anhar Al-Deek tiba-tiba menjadi tular ekoran penderitaan yang dilaluinya menjelang kelahiran bayi kedua di penjara negara haram Israel dalam masa terdekat.

Malah tanda pagar atau hashtag #SaveAnhar juga mula mendapat perhatian ramai warga net di seluruh dunia.

Anhar, ibu muda berusia 25 tahun kini hanya menunggu masa untuk melahirkan bayi keduanya itu dalam keadaan yang sangat menyedihkan di dalam lokap yang dihuninya.

Dia dilapor langsung tidak menerima simpati dan belas kasihan daripada pihak penjara Zionis.

Sejak ditahan pada 8 Mac tahun ini, Anhar langsung tidak dibicarakan, malah penahanannya dikatakan dilakukan tanpa sebab munasabah.

Anhar kini telah genap sembilan bulan tempoh kehamilan. Memang menanti masa untuk melahirkan bayinya. Jika tiada tindakan mahu pun secebis nilai kemanusiaan, Anhar mungkin melahirkan bayinya itu dalam keadaan yang amat sengsara!

Dalam sepucuk surat kepada suaminya yang tular baru-baru ini, Anhar mengadu tertekan dengan keadaan diri dan situasi sekelilingnya yang serba daif. Apatah lagi berada di dalam penjara Israel yang terkenal dengan penderaan seksual, siri penyeksaan dan pembulian, tanpa sebarang bentuk belas kasihan.

Mana mungkin Anhar dapat melahirkan bayi sendirian dalam suasana yang tidak selamat, tidak selesa apatah lagi mengundang risiko kepada beliau dan bayinya? Allahu Akbar.

Luahan derita Anhar kepada suaminya melalui sepucuk surat.

Berdasarkan pembacaan saya menerusi posting yang ada tanda pagar #SaveAnhar , wanita itu berkemungkinan besar akan melahirkan bayinya dengan keadaan kakinya bergari. Bayangkan.

Berikut intipati surat daripada Anhar kepada suaminya dari dalam penjara:

“Saya rindukan Julia, anak perempuan saya. Harap sangat dapat memeluknya sepenuh hati. Seksanya hati ini tidak dapat ditulis (digambarkan).

“Apa yang boleh saya buat jika melahirkan bayi ini tanpa kamu (suami) di sisi, dan dalam keadaan bergari?

“Kamu tahu bagaimana melahirkan bayi melalui kaedah cesarean di luar penjara, bukan? Dan bagaimana pula melalui saat yang sama di dalam penjara dan ketika dirantai?

“Saya penat dengan kesakitan yang dialami. Saya sakit di bahagian pinggul dan kaki. Saya tidak tahu apa langkah seterusnya selepas pembedahan itu. Bagaimana tidur saya selepas ini, lebih-lebih lagi ketika petugas penjara memegang lengan saya dengan jijik?

“Bagaimana saya boleh lindungi bayi itu nanti daripada mereka (petugas penjara) yang menakutkan?

“Saya rayu semua orang untuk bertindak, walaupun dengan sepatah perkataan!

Anhar Al-Deek, Tahanan Penjara Israel

Sehingga artikel ini ditulis, tiada perkembangan terbaharu tentang nasib tahanan wanita itu.

Namun menerusi Instagram, ada kempen yang dianjurkan pihak yang memperjuang hak asasi manusia mendesak pembebasan Anhar segera bagi membolehkannya menjalani prosedur kelahiran dengan selamat.

Ia termasuk kempen menghantar e-mel beramai-ramai kepada pihak Mahkamah Tentera.

Bait kata-kata Anhar yang dipaparkan di laman-laman Instagram yang mendesak pembebasannya.

Sementara itu laporan-laporan penderitaan wanita hamil dan melahirkan bayi di dalam penjara Zionis memang perkhabaran paling gerun untuk didengari.

Menurut akaun Instagram Mariam Barghouti, pada tahun 2000 hingga 2001, seramai hampir 31 wanita yang sarat mengandung melahirkan bayi di checkpoint Israel.

Namun, apa yang memilukan, 17 daripada bayi yang dilahirkan itu dilapor meninggal dunia.

Kisah pilu Anhar ini mungkin secebis cerita derita yang kita dengar. Barangkali banyak lagi kisah sengsara di sebalik tirai besi rejim laknatullah itu.

Buatlah apa yang terdaya dalam membantu Anhar. Letaklah nilai kemanusiaan melebihi segala-galanya. Anhar mungkin diuji sebegitu rupa. Dan kita turut diuji sejauh mana belas ihsan kita dalam membantu saudara seagama.

Sama-sama kita doakan proses kelahiran bayi Anhar lancar dan sempurna. Moga-moga nyawa si ibu dan anak dilindungi Allah dan sentiasa dalam peliharaannya.

Ini mungkin gambaran sel penjara yang dihuni Anhar sejak Mac lalu.

Teruskan berdoa untuk hak kemanusiaan wanita bernama Anhar. Ini bukan semata-mata isu Palestin. Ini isu kemanusiaan yang sudah lenyap.

“Jangan berhenti berbicara tentang Palestin.”

Rakyat Palestin

Dunia perlu terus cakna dengan isu-isu di sana. Dan kita di sini, bantulah dengan kudrat yang ada, selagi termampu.

Moga Allah memelihara dan melindungi saudara mara kita di sana. #SaveAnhar

Amin, ya Rabbal ‘alamin.

Penulis adalah Pengurus Berita dan Ehwal Semasa, TV Alhijrah, yang juga seorang suami yang pernah melihat dan menginsafi penderitaan isteri melahirkan seorang bayi di ‘labour room’ hospital.

Leave a Reply