TUN MAHATHIR HARAP TAHUN 2020 BERI NIKMAT LEBIH KEPADA RAKYAT MALAYSIA

Last Updated on

5

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berharap kehadiran tahun baharu 2020 dapat memberi nikmat dan kemakmuran yang lebih kepada semua rakyat dan negara ini berbanding tahun 2019 yang ditinggalkan dengan pelbagai kenangan pahit dan manis.

Perdana Menteri berkata walaupun terdapat debaran dan sedikit kerisauan jika berlaku sesuatu di luar jangkaan yang mungkin merugikan dan menyusahkan, rata-rata rakyat perlu yakin bahawa usaha yang disemai pada 2019 akan mampu membuahkan hasil pada tahun berikutnya.

“Kerajaan sedar bahawa sepanjang tahun 2019, terdapat beberapa isu yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, dan kita akur dan peka dengan suara-suara tersebut dan usaha untuk memajukan negara ini tetap berterusan dan kekal sebagai satu amanah tanggungan kerajaan hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Ambang 2020@Kuala Lumpur dan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020 di Dataran Merdeka, malam ini.

Dr Mahathir berkata tahun 2020 agak signifikan baginya kerana hampir tiga dekad lalu beliau melancarkan Wawasan 2020 dengan sasaran negara mencapai tahap negara maju.

“Tetapi, kerana beberapa pendekatan beberapa tahun lalu yang diambil pemimpin kerajaan (perdana menteri) kelima dan keenam, maka wawasan itu tidak dapat dicapai pada tahun ini dan kita perlu lanjutkan tempoh itu selama 10 tahun lagi,” katanya.

Dr Mahathir berkata pelan tindakan negara yang baharu iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) meletakkan sasaran bahawa pada tahun 2030 nanti, negara akan mencapai apa yang telah diharapkan untuk dicapai pada 2020.

Bagaimanapun, katanya walaupun wawasan ini disasarkan untuk dicapai pada 2030, ia hanya akan berjaya jika usaha ke arahnya dimulakan dari sekarang.

Ia juga, kata Perdana Menteri hanya boleh berjaya jika rakyat menyambut dan melaksanakan cara-cara yang diperkenalkan kerajaan.

Bercakap di hadapan kira-kira 80,000 pengunjung, Dr Mahathir menarik perhatian resolusi tahun baharu tidak memerlukan sesuatu yang sukar.

“Cukup sekadar kita bertekad mahu berusaha lebih tekun untuk memastikan kejayaan diri kita, kerana kejayaan tiap seorang daripada kita akan menyumbang kepada kejayaan negara.

“Sebaliknya, kejayaan negara tetap akan memberi nikmat kepada tiap seorang daripada kita,” katanya. — BERNAMA

Leave a Reply