YAMAN: SAYA SUDAH PENAT


Ali Saleh, 62, nampak lemah ketika pertama kali penulis menemuinya di penempatan pelarian Usman Affan di kawasan Dar Saad di pinggir kota Aden, selatan Yaman.
Pelarian mangsa perang dari Hodeidah itu hanya duduk di atas tilam buruk berlantaikan tanah di khemah pelariannya itu.
Kelihatan kaki dan tangannya yang kurus kering di sebalik kain pelikat dengan baju putih tidak berkolar yang dipakai warga emas itu.
Sesekali pelarian dalaman akibat konflik perang di Yaman itu terbatuk-batuk, ketika beberapa ekor lalat berterbangan di kawasan tempat tidurnya itu.
“Alhamdulillah, kehidupan baik,” demikian ringkas jawapan Ali ketika penulis bertanyakan khabar beliau melalui penterjemah, Wagdi Ali, seorang penduduk tempatan yang bekerja sebagai guru di Aden.
Ali meminta penulis duduk bersamanya kerana dia tidak dapat bangun. Wagdi memberitahu penulis yang Ali lumpuh sebahagian badan kerana diserang strok beberapa bulan sebelum itu.
Penulis menyedari kehidupan Ali tidaklah sebaik yang beliau ucapkan kerana di matanya, jelas terbayang penderitaan seorang pelarian.
Ali antara 700 pelarian dalaman (IDP) terjejas perang dari Hodeidah yang kini menumpang teduh di penempatan pelarian di pinggir kota Aden itu.
Aden adalah pusat pemerintahan di selatan Yaman yang kini dikuasai Majlis Transisi Selatan (STC) dan kawasan selebihnya dikuasai Kerajaan Yaman sah yang disokong pakatan diketuai Arab Saudi.
Hodeidah, tempat asal Ali dan keluarganya, adalah bandar pelabuhan bersebelah Laut Merah yang menjadi titik panas bagi konflik perang saudara sejak Mac 2015 yang memecahkan Yaman kepada dua bahagian.
Wilayah utara dengan pusat kuasa di bandar Sana’a dikuasai kumpulan pemisah Houthi yang disokong Iran, manakala wilayah selatan dikuasai STC dan kerajaan sah Yaman pimpinan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang kini hidup dalam buangan sejak hujung 2017.
Perang saudara meletus di Yaman selepas Houthi mengambil alih kuasa di ibu negara Yaman, Sana’a pada hujung 2014 sebelum tentera pakatan diketuai Arab Saudi bertindak campur tangan pada Mac 2015 melalui serangan udara untuk mengembalikan kuasa kepada Hadi.
Namun selepas lima tahun berlalu, peperangan itu menyebabkan negara Arab termiskin itu semakin parah dengan 24.1 juta atau 80 peratus daripada populasinya terjejas dan memerlukan bantuan asing untuk hidup.
Daripada jumlah itu, Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA) menyatakan lebih tiga juta warga Yaman hilang tempat tinggal dan menjadi pelarian dalaman atau IDP seperti mana Ali yang kini berlindung di Aden.
Tidak seperti di negara Arab bergolak lain seperti Syria atau Palestin, majoriti pelarian dalaman terjejas sememangnya sudah miskin sebelum perang saudara membelenggu Yaman.
Rata-rata penduduk di Yaman memang hidup dengan purata 590 Yemeni Riyal sehari (USD1), demikian menurut pekerja kemanusiaan, Tomna Obaid dari Aden.

Ali yang lari keluar dari Hodeidah pada 2017 adalah salah seorang pelarian dalaman yang hilang tempat tinggal dan kini hidup merempat di Aden di penempatan pelarian Usman Affan di Dar Saad itu.
Di Yaman, pihak berkuasa tidak mahu penempatan pelarian yang kebiasaannya dibina di atas tanah persendirian atau tanah milik kerajaan itu, dipanggil kem pelarian atas alasan tertentu.
“Mereka tidak mahu kawasan itu jadi kem pelarian atau tempat kekal untuk pelarian. Mereka mahu pelarian itu balik ke kawasan asal mereka,” kata seorang pekerja kemanusiaan yang enggan dikenali.
Penulis mendapati majoriti penempatan pelarian dalaman di Yaman dikelilingi tembok termasuk di Dar Saad dan Kem Alshaab di Al Bureiqa yang dikelolakan Pesuruhjaya Tinggi PBB Bagi Pelarian (UNHCR).
Rata-rata khemah dihuni pelarian dalaman seperti Ali amat daif, malah penulis mendapati “rumah” di Kem Alshaab juga amat teruk keadaannya.
Bayangkan, ada dalam kalangan pelarian yang baru tiba di kem yang dikendalikan UNHCR itu hanya diberikan empat batang kayu sebagai tiang dan kanvas dengan cetakan logo agensi dunia itu sebagai dinding dan bumbung.

“Mereka tidak buat apa-apa. Mereka bagi kami makanan tetapi tidak cukup,” kata Aidh, 37, yang berlindung di dalam khemah UNHCR di Kem Alshaab bersama 11 orang ahli keluarganya.
Pelarian dalaman dari Dale’ itu mendakwa beliau terpaksa pergi kedai-kedai berdekatan merayu untuk mendapatkan makanan bagi keluarganya.
Di kawasan lain, majoriti pelarian wanita terpaksa meminta sedekah di jalanan untuk memastikan bekalan makanan anak-anak mereka tidak putus.
Walaupun Aidh mendakwa keluarganya hidup dalam kesusahan, penulis mendapati keadaan Ali adalah jauh lebih teruk terutama keadaan tempat tinggalnya yang tidak terurus seperti kawasan setinggan sesak.
Khemah pelarian Ali, isteri dan dua anaknya seperti mana pelarian lain di penempatan Usman Affan hanya diperbuat daripada plywood, kotak, kanvas dan plastik.
Majoriti pelarian di situ tidak bekerja dan hanya mengharapkan bantuan makanan bulanan dari Program Makanan Dunia (WFP) serta bantuan kewangan 45,000 Yemeni Riyal sebulan bagi setiap keluarga.

“Bantuan ini tidak cukup,” kata Ali menjelaskan 6,000 riyal digunakan untuk membeli lampin pakai buangnnya setiap bulan dengan selebihnya untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga sehingga mendapat bantuan pada bulan berikutnya.
Ali memberitahu kedua-dua anak lelakinya terpaksa bekerja, antaranya dengan mengambil upah kerja-kerja harian seperti mengangkut air, untuk mencari pendapatan tambahan.
“Selepas sakit, saya tidak boleh berjalan dan tidak boleh berbuat apa-apa lagi,” kata Ali sambil matanya mula berkaca ketika isterinya, Saedah Bagel Ali, 40-an, memerhatikan penulis menemubual suaminya.
Ali memberitahu yang beliau kesal kerana tidak dapat menyekolahkan anak bongsunya yang berumur 10 tahun dan kini tidak mempunyai masa depan.
“Kebanyakan anak-anak mereka tidak ke sekolah kerana ibu bapa mereka miskin. Nak makan pun tak cukup, bagaimana nak ke sekolah,” kata Wagdi.
PBB menyifatkan Yaman sebagai krisis kemanusiaan terburuk di abad ini kerana wilayah bergolak itu bukan hanya berdepan dengan perang, sebaliknya turut berdepan dengan ancaman kebuluran dan penularan wabak kolera.
Setakat ini, dilaporkan hampir sejuta kes disyaki taun direkodkan walaupun kerajaan Yaman tidak mahu istilah taun digunakan, sebaliknya digantikan dengan cirit birit akut (AWD).
Usaha damai cuba dilakukan untuk mencapai keamanan antara pihak bertelagah, termasuk perjanjian damai di Stockholm pada hujung 2018 antara lain memastikan gencatan senjata di Hodeidah, mewujudkan koridor kemanusiaan di Taiz dan menyerahkan tiga bandar pelabuhan utama di Laut Merah (Hodeidah, Al Salif dan Ras Isa) kepada agensi PBB.
Bagaimanapun, insiden serangan artileri ke atas kilang gandum dikelolakan WFP di Hodeidah yang juga perbatasan perang pada 26 Disember lalu, menunjukkan perang saudara di Yaman masih jauh dari pengakhiran dengan kehidupan jutaannya warganya semakin parah.
Ditanya adakah beliau mahu pulang ke Hodeidah, Ali terdiam sebelum perlahan-lahan air matanya berlinang dan kedengaran dari mulutnya, “saya sudah penat”. – AlHijrah Online
Penulis adalah Editor Berita dan Penerbit AlHijrah Media Corporation yang turun ke Yaman selama dua minggu pada Disember 2019 bersama Tim Mercy Malaysia.