DR ZULKIFLI: TIGA NASIHAT BUAT PEMIMPIN POLITIK

KUALA LUMPUR: ‘Jangan pandang ringan soal agama’. Itu antara tiga nasihat oleh bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri menjelang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Beliau berkata, semua parti politik diseru memperbaharui niat masing-masing dalam berkempen pada PRU-15 berdasarkan tunjang utama politik Malaysia iaitu rakyat dan agama.

“Kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa “janji Puteri Gunung Ledang” oleh pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab. Apatah lagi kita tidak mahu soal agama Islam selaku agama Persekutuan dikesampingkan oleh mana-mana parti yang memerintah kelak,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, adab dan akhlak perlu dipelihara sesama parti. Tidak perlu benci-membenci kerana kempen hanya perlawanan dalam mengatur strategi untuk mempromosi parti masing-masing.

Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa fitnah adalah sekeji-keji bentuk kempen dan permainan politik.

“Fitnah boleh menaikkan seseorang yang jahat. Fitnah juga boleh menjatuhkan seseorang yang baik. Sudah pasti azab bagi penyebar fitnah adalah amat dahsyat.”

Dalam pada itu, beliau berpendapat peranan pengundi muda amat signifikan dan mampu mengubah landskap politik negara.

“Suara pengundi muda tidaklah terlalu besar dan ini akan menjadi cabaran sesetengah parti yang menjenamakan diri mereka sebagai parti mewakili golongan muda. Pun begitu, saya melihat peranan pengundi muda amat luas dan tidak mustahil gelombang yang mereka cetuskan terutama di aplikasi Twitter dan TikTok mampu merubah lanskap politik negara.”

Jelasnya, golongan muda ada ‘bisa’ tersendiri namun tidak boleh selesa dengan ‘fyp’ di TikTok semata-mata. Ia dibuktikan dengan gelombang oleh pengundi luar bandar pada PRU-14 lalu.-AlHijrah Online

Leave a Reply