Dua kilang haram di Seremban diarah tutup

Seorang pegawai sedang melakukan pemeriksaan ke atas satu kilang dalam operasi di Seremban hasil laporan orang awam.

SEREMBAN – Dua kilang haram diarah tutup semalam, selepas mengeluarkan bau kimia kuat yang menjejaskan kesihatan penduduk berhampiran.

Kilang yang beroperasi sejak enam bulan lalu itu menjalankan aktiviti kitar semula plastik dan peleburan timah.

S. Veerapan

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan berkata, mengikut aduan orang awam yang diterima melalui telefon dan sistem e-aduan Jabatan Alam Sekitar (JAS), mereka mendakwa terhidu bau kimia di kawasan berhampiran Taman Paroi Jaya, Taman Panchor Jaya dan Ampangan serta sepanjang jalan Pantai – Jelebu.

Ekoran aduan tersebut, JAS Negeri itu bertindak menjalankan operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi. 

Hasil operasi itu, dua kilang diarah tutup manakala sebuah lagi kilang membuat marmar telah diberikan notis arahan kerana menjalankan operasi tanpa alat kawalan udara yang cukup.

Sebuah kilang marmar berlesen di Seremban diberi notis arahan kerana beroperasi tanpa alat kawalan udara yang cukup.

“Kedua-dua premis ini telah ditahan operasi di bawah Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mulai hari ini. Selain dari itu ada satu lagi kilang marmar yang beroperasi dengan mempunyai lesen, tetapi mereka tidak menggunakan alat kawalan udara,” jelas Veerapan.

Pemilik kilang plastik boleh didenda tidak lebih RM 500 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan tersebut.

Leave a Reply