DBP gesa KBS martabatkan bahasa Melayu

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menukarkan nama Hari Sukan Negara 2019 kepada Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC’19).

Melalui kenyataannya kepada media semalam, DBP menyatakan pertukaran nama yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Steven Sim Chee Keong itu bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Penjenamaan semula ini menunjukkan pihak Kementerian Belia dan Sukan tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu termasuklah program rasmi kerajaan,” kata kenyataan itu.  

Perkara 152 dan Akta tersebut memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi negara, dengan maksud digunakan dalam semua maksud rasmi yang meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-kerajaan Negeri, Badan-badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Bagi program yang diadakan di peringkat antarabangsa pula, DBP mencadangkan nama program dibuat secara dwibahasa, iaitu dengan mendahulukan bahasa kebangsaan dan diikuti terjemahan.

Selain itu, institusi ini juga menyarankan semua kementerian dan agensi kerajaan mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai identiti negara serta wahana komunikasi dan perpaduan dalam semua programnya.

Leave a Reply