DUA LELAKI MENGAMUK DI PUSAT TAHFIZ DITANGKAP, POSITIF DADAH

KUALA LIPIS: Dua lelaki yang bertindak menyerang seorang penjaga dan seorang pelajar di Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, Kuala Lipis, Pahang yang videonya tular hari ini telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata kedua-dua suspek yang ditahan juga didapati positif dadah.

“Kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah.

“Lima suspek terlibat dalam kes ini dan polis sedang giat mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya suspek yang ditangkap akan ditahan reman selama empat hari sehingga 15 Ogos 2022.

Dalam kejadian pada 11 Ogos 2022, lima suspek bersama seorang pelajar telah pergi ke pusat tahfiz tersebut dengan tiga daripadanya telah menyerang seorang penjaga dan pelajar hingga menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan.

Ia dipercayai berpunca akibat tidak berpuas hati dengan penjaga tahfiz berkaitan pembayaran makanan di pusat tahfiz tersebut.

Azli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – AlHijrah Online

Leave a Reply