DUA PELAJAR CACI PEMBUAT KERTAS SOALAN SEJARAH SPM DITAHAN

HULU SELANGOR: Polis menahan dua remaja lelaki bagi membantu siasatan video tular melibatkan pelajar sekolah menengah yang tidak berpuas hati terhadap kertas soalan Sejarah pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 18 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada guru wanita berusia 53 tahun pada jam 10.53 semalam.

“Polis mengesan video tular di TikTok dan Facebook di daerah ini, memaparkan seorang pelajar lelaki memakai seragam sekolah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kertas soalan SPM mata pelajaran Sejarah.

“Pelajar itu juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan serta menghina Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor melakukan serbuan di sebuah rumah di sini sebelum menahan kedua-dua suspek.

Tambah Suffian, pihaknya turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek terlibat dan ujian saringan mendapati kedua-dua suspek negatif dadah selain tiada rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya.

Sebelum ini tular video memaparkan seorang pelajar mengeluarkan kata-kata kesat selain menghina sebuah negara selepas didakwa tidak berpuas hati dengan soalan dalam subjek Sejarah SPM.—AlHijrah Online

Leave a Reply