DUA PELAJAR MINUM AIR BERKARBONAT CAMPUR SPIRIT MENINGGAL DUNIA

Kota Kinabalu: Dua pelajar sebuah sekolah menengah di Pitas yang kritikal akibat keracunan metanol selepas dipercayai meminum minuman berkarbonat bercampur ‘spirit’ disahkan meninggal dunia.
Kedua-dua pelajar berusia 17 tahun itu disahkan meninggal dunia masing-masing pada Rabu dan Khamis di Hospital Queen Elizabeth (HQE1) dan HQEII, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, kematian pelajar kedua pada Khamis lalu disebabkan kecederaan otak yang teruk (toksikiti serebral) akibat keracunan metanol.
“Semua 25 pelajar lain yang turut mengalami keracunan sudah dibenarkan pulang ke asrama selepas menerima rawatan.
“Kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR),” katanya.
Sebelum ini, Pemangku Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Asits Sanna melaporkan seorang pelajar meninggal dunia selepas disyaki keracunan metanol pada Rabu lalu.
Pelajar terbabit disahkan meninggal dunia disebabkan pelbagai organ dalamannya gagal berfungsi.
Pada 9 Jun lalu, seramai 27 pelajar lelaki sekolah terbabit dimasukkan ke hospital akibat keracunan metanol selepas dipercayai minum minuman bikarbonat dan cecair spirit hingga menyebabkan keracunan. –AlHijrah Online