DUA PENYOKONG BOLA SEPAK DITAHAN BERGADUH LUAR STADIUM

Tangkap layar video pergaduhan yang tular.

CHERAS: Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dengan satu pergaduhan antara penyokong bola sepak Kuala Lumpur City dan Selangor FC, di luar Stadium Cheras Kuala Lumpur, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata, pergaduhan berlaku kira-kira jam 12.30 pagi tadi dan insiden dikesan sepasukan anggotanya yang sedang bertugas di stadium tersebut bagi perlawanan bola sepak antara Kuala Lumpur City dan Selangor FC.

“Pihak polis cuba untuk meleraikan keadaan yang sedang kecoh dan telah mengarahkan kesemua suspek untuk beredar tetapi dua lelaki warganegara tidak mengendahkkan arahan yang diberikan.

“Seterusnya pihak polis telah menahan kedua-dua suspek berusia 22 dan 23 tahun kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua suspek telah ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan dan direman tiga hari bermula hari ini hingga Isnin untuk melengkapkan siasatan.

Semalam tular sebuah rakaman video di media sosial menunjukkan keadaan huru-hara di luar Stadium Cheras Kuala Lumpur selepas tamat perlawanan antara Kuala Lumpur City dan Selangor FC dengan keputusan seri 3-3.–AlHijrah Online

Leave a Reply