DUA WANITA BERAKSI ‘SUPERMAN’ DI LEBUH RAYA DITAHAN POLIS

Media Sosial

IPOH: Dua wanita yang aksi mereka tular kerana menunggang motosikal secara berbahaya termasuk melakukan aksi ‘Superman’ di Lebuhraya Utara-Selatan, ditahan polis semalam. 

Ketua Polis Daerah Muallim Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata kedua-duanya menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim pada 9.10 malam.

Beliau berkata mereka berjaya dikesan polis susulan tular rakaman video berdurasi 45 saat yang memaparkan dua penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di media sosial sejak kelmarin.

“Siasatan awal mendapati aksi mereka dirakamkan di Kilometer 375.9 arah utara pada Ahad lalu dan remaja berusia 18 dan 21 tahun itu menunggang dari Kuala Lumpur ke Ipoh. 

“Apabila mereka sampai di kawasan rehat dan rawat Behrang kedua-dua suspek melakukan aksi ‘Superman’ iaitu meniarap di atas tempat duduk dan mencelah di antara kenderaan yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Hasni berkata kedua-dua mereka berasal dari Pulau Indah, Selangor dan masing-masing bekerja sebagai operator platform e-dagang dan pengasuh bayi serta tidak mempunyai rekod jenayah.

“Pihak polis telah mengeluarkan saman ke atas mereka kerana kesalahan tiada lesen dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply