PM ANWAR ALU-ALUKAN MINAT, KEPUTUSAN PELABURAN ELON MUSK DI MALAYSIA

Sumber Gambar: PMO

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk di Malaysia serta kesediaan beliau untuk datang ke negara ini.

Anwar berkata, beliau turut mengucap tahniah dan dokongan kerajaan atas pembukaan Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon Musk di Selangor pada tahun ini.

“Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050.

“Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan bersama Elon Musk yang juga CEO Tesla Inc. , menerusi persidangan video pagi tadi, yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Dalam pertemuan itu, turut dibincangkan adalah penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.

“Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply