DUKACITA, KECEWA AGAMAWAN ENGGAN VAKSIN – SULTAN SELANGOR

KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dan amat kecewa apabila hanya 203 daripada 873 orang guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), Ahli Jawatankuasa Masjid serta jurunikah di Selangor hadir bagi program vaksinasi khas COVID-19 Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), hari ini.

Lebih mendukacitakan baginda, daripada 203 orang yang hadir, 96 daripada mereka menolak untuk divaksin.

ARTIKEL BERKAITAN – JAIS AKAN SERAH NAMA INDIVIDU TOLAK VAKSIN KEPADA SULTAN SELANGOR

Baginda bertitah, kedegilan individu-individu tersebut hanya akan menyusahkan rakyat, khususnya murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA.

“Pelbagai inisiatif dan cara telah dilakukan khususnya daripada gesaan baginda sendiri dengan kerjasama pihak JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), demi memastikan kesejahteraan seluruh umat Islam di Negeri Selangor.

“Ini termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada petugas-petugas masjid dan pejabat agama bagi membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Titah Sultan Selangor, baginda akan meneliti nama-nama guru KAFA, Ahli Jawatankuasa Masjid dan jurunikah yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.—AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply