JAIS AKAN SERAH NAMA INDIVIDU TOLAK VAKSIN KEPADA SULTAN SELANGOR

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mempersembahkan senarai nama individu yang menolak pengambilan vaksin COVID-19 kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Jumaat ini.

Senarai nama tersebut melibatkan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pentadbir masjid serta penolong pendaftar nikah di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, seramai 872 individu terlibat dalam program vaksinasi khas bagi menerima suntikan vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN – DUKACITA, KECEWA AGAMAWAN ENGGAN VAKSIN – SULTAN SELANGOR

“Sebanyak 80 peratus daripadanya menolak untuk tidak mengambil vaksinasi, bagaimanapun kita masih menunggu semua individu ini hadir ke PPV.

“Selepas itu, nama mereka yang menolak untuk divaksin akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor,” katanya.

Sementara itu, Shahzihan berkata beliau dan timbalannya juga akan berbincang bagi menggunakan peruntukan kuasa yang ada ke atas pihak terlibat yang enggan menerima suntikan vaksin.

“Semua ini kita akan teliti dari segi hak, perundangan, hukum dan lain-lain. Pihak terbabit juga mungkin boleh dirujuk di bawah peraturan kelakuan dan tatatertib dan semua itu akan diteliti selepas ini,” katanya.

Sultan Sharafuddin pada awal September lalu bertitah bahawa pihak yang masih enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 bakal berdepan kemungkinan untuk tidak dibenarkan meneruskan tugas selepas ini.—AlHijrah Online

Leave a Reply