SELANGOR TAMBAH BILANGAN JEMAAH SOLAT JUMAAT

SHAH ALAM: Bilangan jemaah bagi solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) ditambah kepada 1,000 orang manakala bagi masjid lain di Selangor dibenarkan sehingga 500 jemaah dalam tempoh Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut surat edaran dalaman yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), ketetapan baharu itu mula berkuatkuasa hari ini sehingga suatu tempoh yang ditentukan kelak.

Ketetapan tersebut mengambil kira penurunan kes semasa yang terus konsisten dan terkawal, peningkatan peratus vaksinasi lengkap dan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri serta beberapa indikator yang sangat signifikan.

Bagi Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya dan masjid institusi pula, masing-masing 500 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 300 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

Had jemaah untuk masjid pengurusan ditetapkan ramai 400 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 300 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

“Masjid kariah pula 350 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 200 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

“Surau kebenaran solat Jumaat pula 250 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 200 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

“Surau kariah dan musolla pula masing-masing 100 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu,” menurut edaran itu.

Sementara itu, prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak diberi penekanan dengan jemaah hanya dalam kalangan ahli kariah yang tinggal bermastautin dalam kawasan dan perlu lengkap dua dos vaksin COVID-19 serta melepasi tempoh inkubasi ditetapkan.

Masjid dan surau juga dibenar menerima jemaah bermusafir atau pemandu e-hailing dan penghantar makanan.

“Jemaah bukan warganegara yang dikenali dan melazimi hadir ke masjid/ surau boleh dipertimbangkan,” menurut edaran itu.

Sementara itu, program mengimarahkan masjid dan surau dibenar dilaksana, antaranya kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Maghrib, tazkirah sebelum solat Jumaat, halaqah tadarus dan tadabbur Al-Quran, kuliah muslimat, bacaan Yasin dan tahlil serta program munajat dan doa.

Bagaimanapun, jamuan selepas majlis dan penyediaan secara hidang tetap tidak dibenarkan.—AlHijrah Online

Leave a Reply