RESTORAN, KEDAI RUNCIT DIBUKA SEHINGGA 12 TENGAH MALAM BERMULA ESOK

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan restoran, kedai serbaneka, kedai runcit dan stesen minyak beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam, bermula 23 September (Khamis).

Selain lanjutan tempoh operasi tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan kebenaran operasi perniagaan spa, pusat kesihatan dan urut kesihatan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober 2021.

“Pusat pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuatkuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha dan pengunjung lengkap divaksin.

“Kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100% dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin,” dalam kenyataannya, hari ini.

Ismail Sabri menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

“Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” katanya.

Sementara itu beliau mengumumkan, warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian RT-PCR di pintu masuk negara, manakala bagi warganegara adalah percuma.—AlHijrah Online

Leave a Reply