HANYA 9 PERATUS POPULASI DEWASA DIVAKSIN LAGI UNTUK RENTAS NEGERI

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Kira-kira sembilan peratus populasi dewasa divaksin lagi diperlukan untuk melengkapkan syarat kelonggaran rentas negeri.

Ia selepas 81 peratus atau seramai 18,964,474 individu daripada populasi dewasa Malaysia telah lengkap divaksinasi setakat semalam.

ARTIKEL BERKAITAN – RENTAS NEGERI SELEPAS 90 PERATUS POPULASI DEWASA DIVAKSIN

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), jumlah pemberian dos vaksin harian untuk semalam sahaja sebanyak 321,342 dos.

Setakat ini 93.3 peratus atau 21,847,551 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kebenaran pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri akan diberikan sekiranya kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus.

Dalam kenyataan di Facebook, Ismail Sabri memaklumkan sasaran 90 peratus populasi dewasa divaksin mampu dicapai dalam tempoh dua atau tiga minggu sahaja lagi.

Umumnya, kadar vaksinasi itu berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).–AlHijrah Online

Leave a Reply