EMPAT APLIKASI TH DI MAKKAH MUDAH DIGUNA, SALUR MAKLUMAT PENTING

MAKKAH: Mudah, penuh dengan maklumat dan mesra pengguna.

Itulah kelebihan bakal diperoleh apabila menggunakan empat aplikasi yang dibangunkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) ketika berada di Makkah iaitu THhujjaj, Hajjmobility, E-Taib dan E-bimbingan sempena musim Haji tahun ini.

Pengarah Operasi Bahagian Teknologi Maklumat Haji TH Shamsul Kamar Hussein Kamal berkata aplikasi itu bukan sahaja boleh menjadi saluran maklumat penting untuk petugas tetapi juga mampu menjadi rujukan kepada pelbagai persoalan bagi 14, 306 jemaah Malaysia.

Beliau berkata lebih menarik, pengguna mampu menguasainya dalam tempoh yang singkat meskipun warga emas serta mereka yang kurang cekap menggunakan teknologi.

“Sebenarnya terdapat peningkatan pemahaman tentang teknologi maklumat dalam kalangan warga emas sekarang ini tetapi bagi mereka yang ada masalah akan dibantu oleh petugas terutama ketika menggunakan THhujjaj.

“THhujjaj ini memang mudah digunakan… jemaah haji yang pertama kali pun tak perlu risau kerana ia sangat mudah dan semua isu berkaitan haji boleh diperoleh daripada aplikasi itu,” katanya kepada pemberita di Bangunan Al Jandriah di sini.

Shamsul Kamar juga berkata tempoh dua tahun tidak bertugas di Makkah akibat COVID-19 telah digunakan sebaiknya oleh pasukan teknologi maklumat TH untuk melakukan penambahbaikan sistem sedia ada malah berpeluang mencipta aplikasi baharu.

Mengakui peredaran teknologi yang semakin pantas, beliau berkata TH juga tidak ketinggalan dalam mendapatkan penggunaan sistem terbaik dan terkini agar tidak membebankan jemaah haji kelak.

“Proses pembangunan digitalisasi dilakukan setelah TH melihat keperluan untuk memudahkan jemaah… kita mulakan THhujjaj ini dah lebih empat tahun termasuk mengkaji apa yang boleh ditambah baik dengan membuat pelbagai versi percubaan.

“Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dua tahun lepas ia telah siap tetapi tidak dapat dilakukan sesi ujian kerana sistem ini hanya boleh digunakan di Makkah,” katanya.

Shamsul Kamar berkata Hajjmobility pula akan membantu petugas memantau semua pergerakan jemaah terutama dalam menyusun pengangkutan dan penginapan malah sistem ini mampu mengurangkan kesilapan pengurusan ketika di Tanah Suci. –AlHijrah Online

Leave a Reply