TV ALHIJRAH DIIKTIRAF ‘EXCELLENT IN MEDIA COMMUNICATION’

KOTA BHARU: Stesen televisyen Islamik negara, TV AlHijrah terus mencipta kejayaan selepas menerima Anugerah Khas bagi Bidang Kecemerlangan dalam Komunikasi Media (Kandungan Islamik) atau ‘Excellent in Media Communication (Islamic Content)’, malam tadi.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam majlis Kelantan Business Entrepreneurship Award (KBEA) 2022.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, anugerah tersebut dapat menjadi pemangkin semangat kepada stesen televisyen tersebut untuk bekerja lebih keras bagi memastikan ia mendapat tempat di hati seluruh rakyat Malaysia.

“Ini membuktikan kerjasama TV AlHijrah yang telah menjangkau ke Kelantan dengan membuka ruang kepada usahawan-usahawan di negeri ini.

“Kelantan merupakan antara negeri yang sangat penting bagi TV AlHijrah kerana ramai usahawan-usahawan yang bersama membangunkan industri perniagaan kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia,” katanya semasa ditemui Berita AlHijrah dalam majlis tersebut.

Kata Namanzee lagi, TV Alhijrah juga akan terus meluaskan pengaruhnya dalam menerusi kandungan-kandungan ilmiah dan dakwah ke Sabah dan Sarawak tidak lama lagi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad mengucapkan tahniah kepada TV AlHijrah atas penghargaan yang diberikan.

Ujarnya, anugerah tersebut merupakan satu kejayaan salah satu medium penyiaran agensi Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) Hal Ehwal Agama.

“InsyaAllah banyak lagi pengisian menarik bakal disediakan kepada para penonton merangkumi segenap aspek yang sesuai kepada pelbagai lapisan umur.

“Medium penyiaran mesti menjadi suara dakwah, tarbiyah dan hiburan mendidik jiwa kepada masyarakat. Inilah komitmen kami,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.—AlHijrah Online

Leave a Reply