EMPAT BARANGAN KEPERLUAN TERMASUK AYAM TURUN HARGA MULAI ESOK

BUKIT MERTAJAM: Empat barangan keperluan iaitu ayam, telur ayam, kacang panjang dan sawi akan mengalami penurunan harga di seluruh negara bermula esok hingga 4 Februari depan.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, empat barangan berkenaan adalah sebahagian daripada 12 jenis barangan yang termaktub di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Azman berkata, pelarasan harga baru dibuat dengan mengambil kira situasi dan lokaliti setempat dan pihaknya berharap tiada isu kenaikan harga berlaku dalam tempoh kawalan tersebut.

“Mulai esok akan terdapat harga baru untuk SHMKM dengan mengambil kira situasi dan lokaliti.

“Jadi terdapat empat jenis barang yang terlibat dengan pelarasan harga semula iaitu telur, ayam dan dua jenis sayuran iaitu sawi dan kacang panjang, inshallah esok pengunjung akan menikmati harga baru yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2022 hingga 4 Februari 2022,” katanya.

Azman berkata, sebanyak 25,897 premis diperiksa dengan 85 kes diambil di bawah penguatkuasaan SHMKM sejak ia dilancarkan 7 Disember hingga semalam.

Sebanyak RM20,000 kompaun telah dikeluarkan sepanjang ops berkenaan membabitkan kesalahan menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum serta tidak meletakkan tanda harga.

Beliau berkata demikian selepas walkabout BTS dan SHMMP di Pasaraya Mydin di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. –AlHijrah Online

Leave a Reply