JOHOR BAHRU: Empat pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan cedera selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled, berkata dua daripada empat mahasiswa yang terlibat berasal dari Johor serta merupakan pelajar tahun satu, pengajian Fiqh Wa Usul.
“Saya dimaklumkan oleh Atase Pendidikan Johor di Kedutaan Mesir bahawa dua orang pelajar Johor mengalami kemalangan jalan raya di Jordan bersama dua lagi pelajar dari Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Dua pelajar Johor yang terbabit kemalangan itu ialah Muhammad Zaqwan Azhar Bin Masjudin dan Muhammad Ilham Dzurllkanian @ Zulkarnian dan masing-masing dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, pelajar yang berasal dari Wilayah Persekutuan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Jordan, manakala pelajar daripada Selangor dilaporkan stabil.
Mohd Fared mengajak semua pihak agar mendoakan keempat-empat pelajar tersebut kembali pulih dan sihat, seterusnya dapat meneruskan pengajian mereka. —AlHijrah Online