EMPAT SEKELUARGA PENGSAN DALAM KERETA DI TOL BENTONG

BENTONG: Empat sekeluarga tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan MPV jenis Proton Exora, di Plaza Tol Bentong menghala Kuala Lumpur, petang tadi.
Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), mangsa terdiri daripada seorang lelaki, seorang perempuan dan dua orang kanak-kanak.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Bentong dengan ambulan.
“JSPT bersimpati dengan kejadian yang menimpa mangsa sekeluarga dan berdoa semoga kesemua mangsa diberi kesembuhan seperti sedia kala,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ujarnya, orang ramai perlu memastikan kenderaan yang dibawa dalam keadaan baik selain mengambil rehat secukupnya sebelum memandu memandangkan cuaca panas terik dan hujan yang tidak menentu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar kesemua mereka ditemukan tidak sedarkan diri selepas kereta dinaiki mereka merempuh pintu Plaza Tol Bentong, arah barat, di Bentong.
Kejadian berlaku pada 2.40 petang dan kejadian disedari anggota polis yang menjalankan rondaan Op Selamat serta kakitangan tol yang kemudiannya mengeluarkan mangsa dengan bantuan orang awam.
“Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Tok Bali, Kelantan ke Balakong, Selangor dan pemeriksaan perubatan mengesahkan mereka tidak sedarkan diri akibat kekurangan oksigen dalam badan.
“Keadaan itu seterusnya mengakibatkan kenderaan terlibat melanggar pintu tol tersebut,” katanya menerusi kenyataan ringkas, di sini.
Semua mangsa, bagaimanapun, difahamkan telah sedarkan diri dan berada dalam keadaan selamat. —AlHijrah Online