ENJIN BOT MATI MENGEJUT PUNCA SUAMI ISTERI, KANAK-KANAK TERJATUH DALAM SUNGAI KELANTAN

TUMPAT: Enjin bot yang mati secara tiba-tiba dipercayai punca sepasang suami isteri dan seorang kanak-kanak lelaki terjatuh ke dalam Sungai Kelantan, di Kampung Pasir Pekan Hulu, di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 petang itu melibatkan mangsa Nor Awadah Sulong, 30, ditemukan lemas sementara suaminya Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30 serta anak saudaranya Amrullah Fitri Afendi, 10, masih hilang.
Bagaimanapun anak pasangan berkenaan, seorang bayi perempuan berusia 14 bulan, terselamat kerana dikatakan tidak terpelanting keluar semasa bot berhenti mengejut.
Ketua Polis Tumpat ACP Amran Dolah berkata, hasil maklumat awal mendapati ketiga-tiga mangsa serta bayi itu sedang menaiki bot sebelum enjin berhenti mengejut lalu menyebabkan mangsa terpelanting keluar ke dalam Sungai Kelantan.
“Mangsa difahamkan sudah biasa dengan kawasan ini, dan mangsa bersama tiga lagi yang terlibat menaiki bot bukan untuk bersiar-siar.
“Terdapat saksi yang melihat bot itu berhenti mengejut dan mangsa terpelanting ke dalam sungai kira-kira 60 meter daripada sungai kawasan ini,” katanya.
Katanya, ahli keluarga mangsa yang berada di tebing sungai segera ke lokasi menaiki bot dan menyelamatkan mangsa wanita serta bayi perempuan terbabit sebelum di bawa ke tebing.
Bagaimanapun, mangsa wanita itu meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat sementara bayi perempuan itu berjaya diselamatkan.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa yang hilang diteruskan kepada 200 meter sekitar lokasi terakhir mangsa dipercayai terjatuh.
Operasi SAR dua mangsa terbabit melibatkan 79 anggota penyelamat termasuk polis, bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan anggota tentera dengan 13 buah bot.—AlHijrah Online