GADIS CURI KAD ATM RAKAN, BELI TELEFON MAHAL DIBERKAS

KUALA LUMPUR: Seorang gadis diberkas pihak berkuasa selepas mencuri kad ATM milik rakannya dan menggunakan wang tersebut untuk membeli telefon bimbit berjenama.
Malah, suspek yang ditahan pada Jumaat lalu di sebuah premis di Pandan Perdana, Ampang Jaya, minggu lalu turut disyaki berbelanja pelbagai barangan kegunaan lain sebelum menghilangkan diri sejak 23 Mac lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, pihaknya sebelum ini menerima laporan daripada mangsa selepas menyedari duit dalam akaun bank miliknya sebanyak RM8,200, berkurang.
“Dalam serbuan itu, pihak polis telah merampas sekeping kad ATM milik mangsa dan sebuah telefon bimbit berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan transaksi akaun bank mangsa.” jelasnya.
Siasatan oleh bahagian komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mendapati berlaku transaksi bermula pada 23 Mac secara berperingkat.
“Siasatan dijalankan mengikut seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997, sehingga pihak polis berjaya menjejaki identiti suspek yang dikehendaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam tular di media sosial seorang gadis mendakwa menjadi mangsa rakannya sendiri telah memuatnaik gambar dan butiran mengenai suspek berhubung kecurian kad ATM miliknya selain wang ringgit miliknya telah digunakan untuk membeli telefon bimbit berjenama. –AlHijrah Online