GAGAL CARI JODOH, PENJAWAT AWAM PUKUL SEORANG WANITA

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 34 tahun dipukul seorang lelaki yang merupakan penjawat awam akibat gagal mencari jodoh.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham di antara pengadu dan suspek dimana suspek yang berusia 35 tahun telah membayar wang sebanyak RM2,500 kepada pengadu untuk mencari calon jodoh di laman web Matrimony tetapi tiada calon jodoh ditemui dalam masa enam bulan.

“Suspek telah membawa pengadu masuk ke dalam lif untuk turun ke bawah. Semasa di dalam lif, suspek telah memukul pengadu berkali-kali menggunakan tangan di bahagian kepala.

“Pengadu mengalami pendarahan di kepala dan telah mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya pihak polis telah mengenal pasti seorang penjawat awam yang terlibat dalam kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan orang.

“Penjawat awam itu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Pihak Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan sentiasa mematuhi undang-undang sedia ada. Orang ramai juga diminta supaya tidak menularkan video yang boleh mendatangkan kegusaran awam,” katanya.

Ujarnya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi IPD Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03- 2146 0584 / 585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – AlHijrah Online

Leave a Reply