TANAH PERKUBURAN ‘BERDARAH’ DITUTUP

SEREMBAN: Tanah Perkuburan Islam Forest Height Seremban yang sebelum ini tular kononnya mengeluarkan darah, ditutup oleh Ahli Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia berikutan tapak sedia ada itu sudah penuh, selain kawasan baharu bersebelahannya dijangka siap untuk digunakan bulan hadapan.

Menurut Aminuddin, MBS bersama Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan, turut mengesahkan air merah yang dilaporkan keluar dari kubur berkenaan adalah berpunca daripada air bawah tanah serta galian berunsur besi yang terdapat dikawasan berkenaan.

Yang mana jelasnya, interaksi antara batu, air dan tanah menghasilkan oxide, iaitu karat berwarna merah.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerja pembinaan longkang bagi mengalir keluar air bawah tanah dikawasan itu juga sedang dilakukan.

“Air merah tu bukan darah, ia cuma sangkaan orang awam dan saya harap bahawa perkara ini tidak ditularkan dengan cara dan informasi yang salah.

“Kita dah tengok air tersebut bukan keluar daripada kubur tapi memang mata air yang keluar melalui kawasan batu merah, jadi bila keluar airnya jadi kemerahan,” katanya.

Ujarnya lagi, pihaknya juga telah meminta Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan untuk menyemak perkara tersebut.

Kata Aminuddin lagi, buat sementara, jenazah di kawasan Senawang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale Seremban atau Tanah Perkuburan Islam Paroi ataupun di kampung halaman mereka.

Tanah Perkuburan Islam Forest Height adalah antara lokasi utama pengebumian jenazah orang Islam bagi daerah Seremban yang diuruskan MBS secara moden, sistematik dan profesional.

Aminuddin berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Masjid Taman Forest Heights Senawang, Seremban, pagi tadi.

September lalu, viral pelbagai gambar mengenai kawasan perkuburan itu yang dipenuhi cecair berwarna merah mengalir di celah kubur.

Perkara itu menimbulkan kegemparan dalam kalangan orang ramai termasuk penduduk setempat yang mendakwa cecair berkenaan adalah darah yang keluar daripada kubur terbabit. –AlHijrah Online

Leave a Reply