PESAWAT HAWK TERHEMPAS: MEJAR MOHD FAREEZ SELAMAT MENJALANI PEMBEDAHAN

BUTTERWORTH: Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Mohd Fareez Omar yang mengalami kecederaan selepas pesawat Hawk 108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth pada Selasa malam selamat menjalani pembedahan.

Perkara itu dimaklumkan oleh bapa Mohd Fareez, Mejar (B) Omar Deros, 62, ketika dihubungi petang tadi.

Menurut Omar, anaknya telah menjalani pembedahan pada jam 7 petang semalam di Hospital Seberang Jaya bagi merawat kecederaan di bahagian pinggang dan tulang belakang.

Katanya, pembedahan ke atas Mohd Fareez berlangsung selama empat jam bermula jam 7 petang dan tamat pada jam 11 malam.

Mohd Fareez kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemerhatian dan pemantauan rapi doktor.

Omar yang juga mejar bersara berkata, keluarganya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan Mohd Fareez.

Dia yang sempat berjumpa Mohd Fareez semalam memberitahu, anaknya itu berada dalam keadaan stabil namun masih lemah kerana menanggung kesakitan pada bahagian pinggang dan tulang belakang.

Dalam kejadian jam 10.07 malam Selasa lalu, sebuah pesawat Hawk 108 yang dikendalikan Mohd Fareez dan Kapten Mohamad Affendi Bustamy terhempas di pangkalan udara Butterworth.

Insiden itu menyebabkan juruterbang Kapten Mohamad Affendi terkorban manakala Mohd Fareez mengalami kecederaan.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan malam.

Jenazah Kapten Mohamad Affendi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, Rompin, Pahang, semalam. –AlHijrah Online

Leave a Reply