IKIM TERBIT BUKU BANTU KELUARGA MALAYSIA URUS KEWANGAN

KUALA LUMPUR: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menerbitkan buku ‘Literasi Kewangan Islam Di Malaysia’ sebagai usaha membantu Keluarga Malaysia bagi membina kembali kekuatan ekonomi dalam masyarakat serta negara.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad, penerbitan buku tersebut sejajar dengan tema pentadbiran hal ehwal Islam yang dibawa iaitu ‘Bersama Agensi Islam Menyantuni Keluarga Islam Mendepani COVID-19’.

Katanya, penerbitan buku tersebut pada masa yang tepat selain memberi manfaat kepada pembaca dalam menguruskan kewangan dengan betul.

“Untuk membina ‘khayra ummah’, umat Islam memerlukan kekuatan harta dan pengurusan kewangan yang baik.

“Usaha yang dibuat oleh IKIM, UKM dan AKPK melalui penerbitan buku ini boleh dianggap sebagai satu usaha yang boleh membawa Keluarga Malaysia untuk keluar daripada kesempitan hidup akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam pelancaran perasmian buku tersebut secara dalam talian di IKIMfm.

Idris berkata demikian selepas sesi wawancara Khas bertajuk ‘Kefahaman Islam Dalam Membawa Gagasan Keluarga Malaysia’ di saluran radio tersebut.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah IKIM Dr Zaidi Ismail dalam majlis yang sama.

Penerbitan buku tersebut dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Sebagai rekod, statistik terkini menunjukkan kadar celik kewangan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih rendah iaitu sekitar 36-40 peratus berbanding 59 peratus bagi Singapura dan lebih 70 peratus bagi negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi atau Organisation For Economic Operation And Development (OECD).

Bagi mereka yang ingin mendapati buku tersebut boleh layari http://www.ikimniaga.my atau hubungi Unit Pemasaran Dan Promosi Bahagian Ekonomi Dan Pemasaran IKIM di talian 03-62046386.—AlHijrah Online

Leave a Reply