GEMA HAFLAH: PLATFORM PENONTON PELAJARI SENI TARANNUM

KUALA LUMPUR: Program Gema Haflah terbitan TV AlHijrah yang mengangkat keindahan seni suara tarannum dalam pembacaan Al-Quran kembali menemui penonton bermula 22 Julai ini.

Disiarkan setiap Jumaat jam 9 malam, progam ini membariskan Qari dan Qariah Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa yang akan mengalunkan pelbagai variasi tarannum seperti Bayaati, Nahwan, Hijaz dan lain-lain.

Menariknnya, musim baru kali ini akan menggunakan konsep pembelajaran di mana penonton boleh bersama-sama dengan selebriti jemputan di studio untuk mempelajari teknik tarannum yang dibimbing oleh para qari dan qariah.

Barisan qari dan qariah yang akan bertindak sebagai tenaga pengajar serta hos ialah Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, Ustaz Mohd Fahmi Asraf, Nor Farhatul Fairuzah dan Siti Aisyah Baa’in.

Gema Haflah musim baru ini juga akan menampilkan Ustaz Mohamad Husaini Mahmur, Ustaz Amirahman Abas, Ustaz Mohamad Raffe Ghalil Abbas, Sofizah Mousin, Normalina Alias dan beberapa lagi individu sebagai qari dan qariah jemputan.

Menurut Penerbit Gema Haflah, Shahrul Anwar Hamid, penghasilan musim baharu program terbabit diharap dapat menarik lebih ramai umat Islam membudayakan dan memartabatkan pembacaan Al-Quran.

“Sejak bersiaran pada 2020, Gema Haflah sentiasa mendapat sambutan dan maklum balas positif daripada penonton. Diharapkan komitmen berterusan TV AlHijrah menghasilkan program-program memartabatkan Al-Quran ini akan memberi manfaat dan penghayatan kepada penonton.

“Gema Haflah juga satu-satunya program televisyen yang mempromosi dan menyebarkan budaya haflah. Jadi diharapkan program ini mampu menjadi rujukan untuk penonton mempelajari dan mendalami ilmu tarannum,” katanya.

Beliau berharap para penonton tidak akan ketinggalan untuk menyaksikan setiap episod Gema Haflah musim yang baru bermula esok. – AlHijrah Online

Leave a Reply