GERAN RM100,000 UNTUK KOPERASI MASJID SEBAGAI GALAKAN

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM100,000 diperuntukkan dalam bentuk geran bagi setiap koperasi masjid sebagai galakan untuk memaju dan membangunkan ekonomi setempat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, dengan bantuan sedemikian, penubuhan koperasi masjid secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi dalam kalangan masyarakat, selain premis itu menjadi lokasi untuk aktiviti keagamaan.

Beliau berkata, inisiatif itu juga seiring dengan matlamat MEDAC yang menyasarkan kira-kira 10 peratus masjid di seluruh negara akan mempunyai koperasi bermula tahun ini.

“Kita mahu membantu koperasi masjid ini yang kita harap masjid bukan saja jadi tempat beribadat, tetapi juga tempat perpaduan ummah serta tempat untuk meningkatkan ekonomi.

“Untuk melaksanakan hasrat itu, maka kita telahpun memperuntukkan kepada koperasi minimum RM100,000 sebagai geran,” katanya.

Selain itu, ujarnya MEDAC turut mengadakan seminar khas untuk jawatankuasa masjid sebagai langkah untuk membimbing mereka memajukan koperasi masjid.

“Minggu lepas, julung kalinya seminar itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan menteri agama turut hadir pada penutupan seminar tersebut.

“Seramai lebih 300 peserta dari seluruh negara menghadiri seminar tersebut,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Salim Mohd Sharif (BN-Jempol) yang mahu MEDAC menjelaskan apakah usaha yang dilakukan untuk mencapai sasaran 10 peratus penubuhan koperasi masjid. –AlHijrah Online

Leave a Reply