HADI AWANG DIBENARKAN PULANG

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak Isnin lalu.

Dalam kenyataannya, Abdul Hadi turut mengucapkan terima kasih serta terhutang budi kepada doktor dan petugas di Unit Kecemasan Hospital Putrajaya dan IJN atas kecekapan dan profesionalisme.

Dalam masa yang sama, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya.

“Sepanjang tempoh rawatan, saya turut mengikuti perkembangan berita dalam dan luar negara, khususnya berkenaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Dasar Perpaduan Negara yang dilancarkan Perdana Menteri.

“Pelbagai langkah yang diambil bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan pemulihan semula ekonomi negara, semoga semuanya dapat dijayakan dengan dukungan bersama,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary memaklumkan dalam hantaran di laman Facebook bahawa Abdul Hadi telah dimasukkan ke Jabatan Kecemasan, Hospital Putrajaya akibat sesak nafas, pada Isnin lalu.—AlHijrah Online

Leave a Reply