HARI ARAFAH: MENGINSAFI KASIH SAYANG ALLAH

OLEH: NADZIRAH SHARINGAT

Sewaktu catatan ini ditulis, genap dua tahun kenangan penulis  di Arafah yang belum terpadam dari memori.

Waktu ini dengan mengira 5 jam lewat berbanding waktu Malaysia, masih segar dalam ingatan penulis, kesibukan jemaah mencari sudut masing –masing untuk bersendirian di bumi Arafah sambil menantikan  waktu mustajab doa selepas gelincirnya matahari sehingga terbenamnya sang suria itu.

Ketibaan jemaah ke Arafah dijadualkan sehari lebih awal kerana perjalanan 30,200 jemaah Malaysia ketika itu untuk menuju Arafah agak  mengambil masa.

Mana tidaknya, Arafah menjadi lokasi himpunan jutaan umat Islam secara serentak bagi mengejar barakah serta kesempurnaan haji.

Bayangkan bagaimana sesaknya Makkah ketika itu dengan deretan bas yang membawa Jemaah menuju lokasi yang satu ini.

Dua hari berada di Arafah, tiada perasaan yang datang menerjah  melainkan ketenangan dan rasa sayu.

Sambil dihiasi langit cerah ketika itu, cuaca panas yang membahang sebelum tibanya hari wukuf  tidak dirasai di Arafah.

Lebih 40 hari berada di Makkah, tiada setitis hujan pun yang membasahi bumi , namun istimewanya hari Arafah ketika itu, wajah jemaah dapat merasai tempias kesejukan  air hujan yang kami anggap sebagai rahmat Allah.

Sempat juga kami merasai deruan angin kuat sehingga diberi amaran oleh petugas haji untuk tidak berganjak daripada khemah masing-masing.

KLIP KETIKA SIARAN LANGSUNG PENULIS DARI ARAFAH PADA 2019

Penulis yang menggalas tanggungjawab  sebagai petugas Media Tabung Haji seperti hari- hari biasa perlu menyelesaikan tugasan dan laporan Hari Arafah secepat mungkin untuk sajian  berita pada malam 10 Zulhijjah.

Tanpa membuang masa, kami mula merakam setiap ‘moment’ di setiap sudut di Bumi Arafah sambil menyaksikan tingkah laku jemaah.

Ada bibir yang tidak lekang dari berzikir, alunan suci ayat Al-Quran memecah kesunyian, tangan–tangan yang menadah doa, malah setiap inci di tanah Arafah menjadi tapak sujud  buat tetamuNYA.

Ini adalah suasana biasa yang kita akan lihat di Arafah dan anda  juga akan menjadi sebahagian daripada mereka suatu hari nanti .

Lensa kamera tertumpu pada jemaah warga emas yang menjadikan pohon hijau  sebagai tempat bersandar.

Tasbih di jarinya digenggam erat, manakala matanya hanya tertumpu pada Kitab suci Al-Quran.

Sambil bibirnya terkumat-kumat, dari kejauhan  terlihat air-air jernih bertakung di hujung hidung  dan bibirnya.

Jelas terpancar rasa keinsafan dalam diri seorang hamba.

Saat penulis menghulurkan mikrofon kepada warga emas itu, dia dengan penuh emosi menzahirkan rasa syukur kerana doanya untuk menjadi tetamu Allah termakbul  sebelum  dirinya menutup mata.

Sambil membahasakan diri sebagai pakcik, dia amat berharap agar anak-anaknya satu hari nanti dapat menjejakkan kaki ke bumi barakah ini.

Insan lain yang penulis dekati juga tidak dapat menahan deruan air mata saat memikirkan betapa besarnya rahmat Allah  yang memberi peluang kepada hambanya untuk bertaubat di samping mengurniakan waktu mustajab doa dengan hari Arafah ini.

Sedar dirinya penuh dengan dosa, hatinya sayu kerana Allah masih memilih dirinya untuk menjejaki Arafah.

Tidak kira usia, pangkat mahupun darjat, di padang luas inilah semua umat manusia sama di sisi Allah dan Allah berhak memberi keampunan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Waktu yang dinantikan hampir tiba. Sudah puas bersendirian, semua Jemaah bersiap sedia menantikan khutbah Arafah yang mungkin sekali lagi menjentik perasaan mereka.

Gelincirnya Matahari, ia menandakan waktu mustajab doa sudah tiba, tidak sabar rasanya untuk membaca satu persatu  ‘senarai’ doa  kiriman keluarga dan rakan-rakan dengan harapan, rayuan dan rintihan itu  diangkat oleh Allah.

Tiada waktu atau detik-detik yang telah atau akan disiakan di Arafah kerana ia mungkin dilalui sekali seumur hidup.

Menjelang waktu Maghrib, detik – detik itu dilalui  dengan penuh hiba kerana Jemaah akan mula meninggalkan tanah halal itu. Muzdalifah pula menanti.

Meskipun singkat, namun kenangan yang di bawa pulang ke tanah air tidak ternilai , malah jejak yang ditinggalkan di Arafah mungkin tidak akan dilupakan dalam diari seorang dhuyufurrahman.

Musim Haji 1440 Hijrah menjadi tahun terakhir Arab Saudi menerima Jemaah Luar sebelum dunia diuji dengan wabak Covid-19.

Sudah dua kali musim Haji, rindu jemaah Malaysia kepada Baitullah masih tertangguh.

Namun percayalah, pasti ade kemanisan yang Allah janjikan di sebalik kerinduan yang tidak tertanggung ini.

Tanpa kita sedari, sifat Allah sebagai  Al-Rahman dan Al- Rahim juga sentiasa  bersama kita.

Walaupun Arafah jauh beribu batu, namun DIA masih mengasihi hambanya untuk menikmati ganjaran pada hari mulia itu.

Apa yang ALLAH janjikan sebagaimana dinyatakan dalam Hadis Riwayat Muslim, umat Islam yang berpuasa pada hari Arafah boleh menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. – AlHijrah Online

Penulis adalah Editor / Penerbit Berita Alhijrah.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply