HASANUDDIN MOHD YUNUS DILANTIK YANG DIPERTUA YADIM

PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus sebagai Yang Dipertua yayasan itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, YADIM memaklumkan pelantikan Datuk Hasanuddin telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa yang sama, Profesor Madya Dr Adi Anuar bin Azmin @ Che Wan pula dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua bagi badan dakwah itu.
Lantikan bagi kedua-dua jawatan bukan eksekutif berkenaan berkuatkuasa pada 3 Mei lalu.
Datuk Hasanuddin adalah individu yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan hal ehwal masyarakat, yang disifatkan sesuai dengan gerak kerja YADIM yang akan melibatkan dakwah kepada orang ramai.
“Datuk Hasanuddin Mohd Yunus yang juga bekas Ahli Parlimen Hulu Langat itu juga sebelum ini aktif dalam aktiviti kemasyarakatan selain terlibat dengan badan badan bukan kerajaan,” jelas YADIM dalam kenyataan itu.
Manakala itu, Profesor Madya Dr Adi Anuar pula merupakan pensyarah kanan di Universiti Malaysia Perlis yang bertugas di Fakulti Perniagaan dan Komunikasi.
Sesuai dengan penglibatan beliau dalam bidang pendidikan, lantikan Profesor Madya Dr Adi Anuar diyakini akan membantu YADIM dalam melahirkan daie-daie muda dakwah di negara ini.
YADIM juga percaya, pengalaman dan kepimpinan kedua-dua tokoh yang dilantik itu akan meningkatkan kemampuannya sebagai badan dakwah yang menyebar nilai-nilai murni Islam dengan Rahmah sesuai dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara Madani. –Alhijrah Online